Anggota majlis PBT Perak wajib beri nombor telefon kepada penduduk
IPOH: Perak akan mewajibkan semua anggota majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk memberikan nombor telefon bimbit kepada penduduk di kawasan masing-masing, kata Menteri Besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.
Langkah tersebut bagi memudahkan rakyat menghubungi anggota majlis PBT sekiranya mereka berhadapan dengan masalah, katanya kepada pemberita selepas majlis mengangkat sumpah jawatan anggota PBT negeri ini di sini hari ini.
Seramai 338 orang anggota mewakili 15 PBT mengangkat sumpah pada majlis tersebut.
Sementara itu wakil Parti Sosialis Malaysia (PSM) dari Sungai Siput perlu menunggu sehingga hujung tahun ini untuk mengetahui sama ada anggotanya akan terpilih sebagai anggota Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK).
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Awam Perak, Nga Kor Ming berkata pihaknya akan mengkaji semula perlantikan anggota majlis PBT setiap hujung tahun.
"Jika ada anggota majlis yang gagal menjalankan tanggungjawab, kami akan mempertimbangkan orang lain untuk mengambil tempat anggota tersebut," katanya mengulas tindakan PSM menghantar memorandum ke pejabatnya semalam untuk mempertikaikan keputusan kerajaan negeri tidak melantik dua anggota parti itu serta dua orang yang lain sebagai anggota majlis MPKK. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan