(Dikemas kini)
Musa Hassan saman Anwar?
KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan akan menfailkan saman terhadap Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana memanipulasikan maklumat yang boleh mencemarkan reputasinya sebagai Ketua Polis Negara.
"Saya akan memfailkan saman terhadap dia (Anwar) melalui peguam saya, Kamarul Hishamaad dan Hasnol Rezua.
"Itu adalah hak saya sama ada nak saman dia (Anwar) atau tidak," katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Musa berkata demikian ketika diminta mengulas laporan sebuah akhbar tempatan berbahasa Cina yang memetik 'sumber' bahawa Musa memberi kata dua kepada Anwar sama ada beliau memohon maaf dalam tempoh 40 jam atau berdepan dengan saman berjumlah RM5 juta.
Menurut laporan akhbar itu lagi, Musa turut menyerahkan surat peguam bertarikh 11 Julai 2008 yang menafikan beliau telah menyebabkan kecederaan pada mata Anwar ketika beliau menjadi pegawai penyiasat dakwaan kes liwat Anwar pada tahun 1998.
Ditanya sama ada beliau ada menerima jawapan permohonan maaf secara lisan atau bertulis daripada Anwar, beliau berkata: "Saya tidak menerima apaapa maklumat daripada peguam saya berhubung perkara ini."
Musa berkata segala halhal berkaitan kes berkenaan telah diserahkan kepada peguamnya.
Pada 1 Julai lepas, Anwar membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor berhubung dakwaan pemalsuan keterangan membabitkan serangan ke atas beliau oleh bekas ketua polis negara Tan Sri Abdul Rahim Noor ketika berada dalam tahanan polis, 10 tahun lepas.
Laporan polis itu turut mengaitkan Musa, yang ketika itu pegawai penyiasat kes terbabit, dan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail yang pada masa itu Timbalan Pendakwa Raya Kanan. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan