Hampir 80 peratus bantah sekatan jalan raya
Azamin Amin
KUALA LUMPUR - Hampir 80 peratus responden dalam undian kaji selidik NTV7 di berita Edisi 7 semalam memberi maklum balas bahawa sekatan jalan raya yang diadakan oleh pihak polis adalah tindakan yang tidak wajar.
Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar menyifatkan sekatan yang berlaku di beberapa jalan raya menuju ke Parlimen hanya menjadikan kawasan Parlimen seolah-olah 'zon perang'.
Malah tindakan polis mengadakan sekatan bermula dari beberapa jalan raya menuju ke Kuala Lumpur hanya menyusahkan pergerakan rakyat, katanya.
"Kami ahli parlimen juga terpaksa melalui kesesakan yang disebabkan sekatan jalan raya yang dibuat pihak polis," katanya kepada Harakahdaily sebentar tadi.
Sedangkan katanya, Pakatan Rakyat tidak merancang sebarang perhimpunan aman di Parlimen terhadap usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri yang dibawa Ketua Pembangkang, Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini.
"Kami tidak pernah merancang himpunan, mengapa pihak berkuasa polis perlu mengadakan sekatan hingga menjadikan Parlimen seperti 'zon perang' atau 'zon bahaya'," ujarnya.
Beliau seterusnya melihat sekatan jalan raya yang dibuat hari ini hanyalah sebagai usaha untuk menakut-nakutkan pihak tertentu malah menggambarkan kononnya berlaku sesuatu. - mns_
Tiada ulasan:
Catat Ulasan