Inflasi naik hingga tujuh peratus bulan lalu
BASEL, Switzerland 1 Julai - Kadar inflasi negara telah meningkat kepada enam hingga tujuh peratus pada bulan lalu dan Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengenakan dasar monetari sekiranya berlaku peningkatan harga yang menyeluruh.
Gabenor BNM, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz berkata, kenaikan harga makanan dan bahan api telah meningkatkan inflasi Malaysia pada bulan Mei iaitu 3.8 peratus, kadar tertinggi dalam tempoh 22 bulan sebelum kerajaan meningkatkan harga minyak pada bulan lalu.
''Kami memang menjangkakan kadar inflasi akan meningkat terutama pada bulan Jun berikutan langkah kerajaan mengurangkan subsidi minyak.
''Berikutan itu, pada bulan Jun, inflasi mencapai kadar enam hingga tujuh peratus,'' katanya.
Zeti menambah, faktor domestik termasuk pengurangan subsidi minyak dan persekitaran ekonomi luar yang lembap turut menyebabkan kadar pertumbuhan negara rendah pada tahun ini iaitu kurang lima peratus.
Bagaimanapun, tambah beliau, BNM akan memantau secara dekat, sama ada ia adalah hasil kenaikan harga barangan pengguna atau kesan kedua akibat kenaikan gaji dan bank pusat itu akan bertindak sekiranya ia mengakibatkan peningkatan harga menyeluruh.
Malaysia telah meningkatkan harga petrol sebanyak 41 peratus dan diesel 63 peratus bulan lalu.
Zeti berkata, dalam menentukan kadar faedah, bank pusat itu perlu melihat kesan kenaikan kadar inflasi serta faktor pertumbuhan sederhana domestik dan luar negara.
Sebelum ini, Zeti berkata bahawa BNM tidak bercadang untuk meningkatkan kadar faedah sekiranya inflasi menyusut pada pertengahan kedua, seperti yang disasarkan.
Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia (BNM) pada Mei lalu telah mengambil keputusan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.50 peratus.
Gabenor BNM itu berkata, kadar faedah adalah satu instrumen polisi bagi berhadapan dengan inflasi yang berpunca daripada permintaan.
''Polisi kadar inflasi melihat semua aspek. Kami akan melihat pelbagai risiko - peningkatan risiko kepada inflasi dan penurunan risiko kepada pertumbuhan yang disebabkan oleh persekitaran luar yang lembap dan impak kepada kenaikan harga bahan api,'' ujarnya.
Mengulas mengenai spekulasi bahawa BNM akan meningkatkan kadar faedah sebanyak 0.5 mata, Zeti berkata: ''Pasaran membuat penilaian berdasarkan kenaikan harga minyak dan ia tidak salah untuk menilai kerana kenaikan harga akan berlaku berdasarkan penyelarasan yang telah diambil''.
Zeti menambah, faktor yang menyebabkan kenaikan harga komoditi pula tidak jelas kerana ia boleh disebabkan rangka struktur atau bahan api dan komoditi yang menjadi kelas aset baru bagi kebanyakan pelabur institusi.
''Apabila pulangan dalam pasaran kewangan lain rendah maka pelabur akan mencari aset yang mampu menjana pulangan tinggi.
''Akibatnya, mana ada aset yang sesuai untuk semua polisi. Kita perlu mengikut konteks dan tidak boleh dilihat secara am dan pendekatan umum terhadap ekonomi,'' kata beliau.
Zeti berkata, unjuran pertumbuhan ekonomi negara adalah sebanyak lima peratus dan akan mengkaji semula sasaran itu pada bulan ini.
''Ia mungkin berada di tahap sederhana, di bawah lima peratus tetapi kami menjangka ekonomi negara terus kukuh kerana kepelbagaian ekonomi,'' tambahnya.- Reuters
Tiada ulasan:
Catat Ulasan