HALAMAN SANTAI

Ahad, 13 Julai 2008

JKM siasat pusat pemulihan


KUALA LUMPUR: Pusat pemulihan akhlak swasta di Kajang yang didakwa menggunakan modul pemulihan tidak normal dengan melakukan penderaan terhadap pelatihnya boleh dikenakan tindakan.

Ini termasuk ditamatkan operasi serta-merta jika siasatan mendapati pihak pengurusannya melanggar peraturan.

Jurucakap Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berkata, sebelum itu, pihaknya akan melakukan siasatan sama ada pusat pemulihan berkenaan berdaftar dengan JKM atau menjalankan operasi secara haram.

“JKM boleh arahkan pusat pemulihan itu tutup serta-merta tanpa mendapat perintah mahkamah kerana peruntukan undang-undang memberi kuasa kepada JKM bagi mengambil tindakan tegas terhadap pusat pemulihan yang melanggar peraturan,” katanya.

Bagaimanapun katanya, JKM perlu melakukan siasatan rapi dengan kerjasama polis sebelum mengambil sebarang tindakan.

“Kami sentiasa pantau pusat pemulihan kendalian pihak swasta dan jika pengurusannya melakukan kesalahan tindakan akan dikenakan terhadap mereka,” katanya.

Sementara itu, ibu kepada seorang bekas penghuni pusat pemulihan akhlak itu lega apabila dia berjaya mengeluarkan anaknya dari pusat itu.

Menurutnya, dia mula curiga apabila anaknya menceritakan mengenai hukuman dera terhadap pelatih jika ada melakukan kesalahan walaupun membabitkan kesalahan kecil.

“Selepas mendengar apa yang berlaku di situ, saya bimbang dan merancang untuk mengeluarkan anak saya dari pusat pemulihan terbabit,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, dia terkejut apabila petugas di pusat pemulihan berkenaan memberi alasan anaknya tidak boleh keluar kerana melakukan kesalahan iaitu tidak mencuci luka pelatih yang cedera.

“Pelik rasanya kerana saya memasukkan anak ke pusat itu untuk menjadi manusia baik, tapi disuruh menjadi kuli dengan mencuci luka pelatih lain,” katanya.

Saemah berkata, dia terpaksa mengalah dan membiarkan anaknya berada di pusat itu selepas ustaz itu mengugut dengan menyebut kontrak pernah ditandatangani serta hubungannya dengan pihak berkuasa.

Tiada ulasan: