HALAMAN SANTAI

Khamis, 10 Julai 2008

JPN wajar dikenakan tindakan kerana langgar fatwa
Roy Rasul


KUALA LUMPUR - Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) wajar dikenakan tindakan kerana didakwa melanggar fatwa yang dibuat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan kata, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad.

Katanya, ini kerana walaupun sudah lapan tahun majlis tersebut mengeluarkan fatwa mengharamkan gabungan nama anak angkat dengan nama penuh bapa angkat tanpa menggunakan bin atau binti Abdullah, JPN didapati tidak mematuhinya.

Beliau yang dihubungi Harakahdaily hari ini berkata, dari segi hukum syariah sememangnya seseorang Islam tidak boleh membin atau membintikan nama anak angkat kepada bapa angkat.

Malah katanya, ini akan mengelirukan kedudukan di segi waris, wali dan mahram.
"Ini adalah hukum, sebab itu mereka perlu patuhi jawatankuasa yang mengetahui tentang selok belok hukum di negara ini. Di mana mereka ini terdiri dari kalangan mufti di seluruh negara dan tokoh-tokoh agama yang mahir dalam bidang agama," katanya

Sebuah akhbar perdana hari ini dipetik, Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Prof Dato' Dr Abdul Shukur supaya Akta Pengangkatan 1952 (Akta 253) dipinda segera agar tidak bercanggah dengan hukum syarak, juga masih tidak dilaksanakan oleh JPN.

Sementara itu Ustaz Idris berkata, PAS kesal terhadap apa yang berlaku bahkan katanya beliau hairan kerana dalam soal undang-undang yang hendak digubal di negara boleh merujuk kepada Peguam Negara.

"Sekiranya ia bertentangan dengan undang-undang ia tidak boleh dilulus dan kenapa dalam soal agama tidak.

"Dalam penentuan hukum yang melibatkan Islam sepatutnya mereka menjadikan Majlis Fatwa sebagai satu ukuran standard," katanya.

Sehubungan itu katanya, mana-mana orang Islam yang tidak mamatuhi saranan Majlis Fatwa itu perlu menarik balik nama anak angkat digabungkan dengan bapa angkat.

"Bila mereka meneruskan nama yang tidak mengikut hukum Islam ia akan mengelirukan khususnya kepada generasi akan datang. - mks._

Tiada ulasan: