Jual tawaran palsu ke UM - Ada pihak mengenakan caj sehingga RM2,000 untuk ‘masuk’ universiti
Oleh AMMAR JAZLAN MAD LELA dan SITI NOR HAFIZA KAMARUDIN
KUALA LUMPUR - Ada pihak mula ligat membuat duit dengan menyamar sebagai kakitangan Universiti Malaya (UM) sambil menawarkan tempat kepada orang ramai untuk menjadi pelajar dengan syarat mereka membayar RM500 hingga RM2,000 seorang.
Itulah taktik yang digunakan satu sindiket menggunakan nama institusi pengajian tinggi awam tertua di negara ini untuk memperdayakan orang ramai.
Perkara itu didedahkan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) di UM, Prof Datuk Dr. Mohd. Amin Jalaludin selepas pihaknya menerima beberapa aduan berhubung kegiatan itu sejak dua hari lalu.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati ada yang sudah menjadi mangsa.
"Setakat ini kita dapati ada satu kes mangsa telah membayar RM500 manakala beberapa kes lain mangsa telah merujuk kepada pihak universiti bagi mendapat kesahihan berhubung tawaran berkenaan dan kita sempat membendungnya,'' kata beliau ketika dihubungi semalam.
Mohd. Amin memberitahu, pihaknya tidak pernah melantik mana-mana pihak atau ejen untuk menawarkan tempat kerana ia perlu melalui beberapa prosedur yang ditetapkan oleh Unit Pusat Universiti (UPU).
"Pelajar yang terpilih ke mana-mana universiti akan disenaraikan di dalam sistem talian UPU, mengikut rekod tersebut baru pihak universiti mengeluarkan surat tawaran.
Katanya, dalam surat tawaran itu disertakan tarikh pendaftaran pelajar, kursus serta bayaran yang dikenakan.
Katanya, tiada bayaran pendahuluan diminta, sebaliknya pelajar hanya perlu membayar ketika mendaftar di universiti dan ia pula dikendalikan oleh Bahagian Akademik, Jabatan Pendaftar UM.
Mohd. Amin memandang serius kejadian itu yang disifatkan telah mencemar imej dan reputasi UM.
"Kami akan membuat laporan polis dan berharap jika ada lagi mangsa sila tampil memberi maklumat.
"Pada masa yang sama kami turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati jika mendapat tawaran sedemikian dan merujuk kepada pihak universiti dulu,'' katanya.
Menurutnya, UM tidak akan bertanggungjawab ke atas apa-apa kerugian sama ada dari segi kewangan atau harta benda sekiranya urusan kemasukan tidak melalui saluran yang sah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan