Laporan polis terhadap KPN, Peguam Negara
Oleh KHALID SAAD
SHAH ALAM – Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor terhadap Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.
Dalam laporan itu, Anwar mendakwa Musa dan Abdul Gani terlibat dalam kes pemalsuan keterangan beliau dipukul oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor pada 1998.
Abdul Gani ketika itu ialah timbalan pendakwa raya paling kanan manakala Musa merupakan ketua pegawai penyiasat kes yang membabitkan Anwar.
Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar mengesahkan beliau menerima laporan Anwar itu daripada pegawainya pada pukul 3.50 petang ini.
‘‘Kami menerima satu laporan daripada Penasihat PKR dan pihak polis akan mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap laporan itu,” katanya yang enggan mengulas lanjut kandungan laporan tersebut.
“Laporan itu diserahkan sendiri oleh Anwar kepada Jabatan Siasatan Jenayah,” ujarnya.
Terdahulu, Anwar tiba di pintu masuk IPK Selangor pada pukul 2.50 petang dan bersesak-sesak bersama kira-kira 500 penyokong PKR yang menanti ketibaannya.
Suasana kecoh ketika Anwar berjalan melepasi pintu pagar yang dikerumuni penyokongnya. Mereka melaungkan slogan reformasi serta memperlekehkan pegawai polis yang berkawal di pintu masuk sambil mencampakkan pas pelawat.
Para penyokong PKR itu berang apabila mereka dilarang memasuki kawasan IPK Selangor untuk mengiringi Anwar membuat laporan.
Ketika membuat laporan, Anwar ditemani Naib Presiden PKR yang juga peguamnya, R. Sivarasa dan Bendahari Agung PKR, William Leong. Mereka diiringi peguam, Sankara Nair, Latheefa Beebi Koya dan Saiful Idzham.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan