HALAMAN SANTAI

Khamis, 17 Julai 2008

Mutakhir

Akuan bersumpah: Raja Petra didakwa fitnah isteri Najib, 2 lain
Oleh NURUL AIN HUSSAIN dan LEE YAN XIU


PETALING JAYA: Pengendali dan editor laman blog Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin , didakwa di Mahkamah Majistret Jalan Duta, Kuala Lumpur atas tiga tuduhan memfitnah termasuk isteri Timbalan Perdana Menteri.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan.

Tuduhan ke atasnya dibacakan tengah hari tadi.

Tohmahan itu didakwa dibuat dalam akuan bersumpahnya yang diikrarkan 10.25 pagi 18 Jun lalu di Mahkamah Tinggi Sivil Lima, Tingkat 4, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

Pertuduhan itu berkait dengan akuan bersumpah yang menyentuh penglibatan isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; pakar bahan letupan C4, Leftenan Kolonel Aziz Buyong dan isterinya, Norhayati Hassan dalam kes pembunuhan Altantuya pada 19 Oktober 2006.

Jika disabitkan kesalahan, Raja Petra boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Anselm Charles Fernandis manakala peguam J. Chandra mewakili Raja Petra.

Ketika dibacakan pertuduhan, Raja Petra yang berada dalam kandang tertuduh berkata, beliau enggan menyatakan mengaku bersalah atas tuduhan-tuduhan itu.

Beliau tiba di pekarangan makhamah kira-kira 12.05 tengah hari tadi.

Sebelum dihadapkan di mahkamah Jalan Duta, Raja Petra dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan kemudian dibawa mahkamah Jalan Duta untuk didakwa di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah.

Ketika di IPK KL, Raja Petra turut ditemani oleh isterinya, Marina Lee Abdullah dan seorang lagi peguamnya iaitu Amarjit Singh Sidhu ketika di mahkamah.

Polis telah memanggilnya untuk membuat keterangan pada 5 Julai lalu di bawah Akta 112 Kanun Kanun Prosedur Jenayah.

Pada hari itu Raja Petra Kamaruddin berkata, beliau bersedia didakwa di mahkamah daripada mendedahkan sumber maklumat yang diperoleh olehnya berhubung dakwaan penglibatan isteri Timbalan Perdana Menteri dengan pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Pengendali dan editor laman blog Malaysia Today itu mendakwa, pihak polis telah memintanya mendedahkan pemberi maklumat tersebut.

Tiada ulasan: