HALAMAN SANTAI

Rabu, 9 Julai 2008

(Mutakhir)

Kes dakwaan liwat Anwar ikut undang-undang 'qazaf'
Oleh ZIEMAN


PETALING JAYA: Kes dakwaan liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dibicarakan di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) mengikut undang-undang peruntukan 'qazaf' dibawah Seksyen 41 ‘Qazaf’ Akta 559 Kesalahan Jenayah Syariah 1997.

'Qazaf' ialah tuduhan palsu terhadap zina dan jika sabit boleh dihukum tiga tahun penjara atau denda RM5,000 dan ianya merupakan kesalahan dalam hukum hudud di mana seorang penuduh yang terbukti bersalah boleh dikenakan 80 kali sebatan.

Seksyen 41 ‘Qazaf’ secara spesifik menyentuh persoalan tuduhan zina, dan menurut hukum syarak, Saiful menghadapi penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi lima ribu ringgit, atau kedua-duanya, sekiranya gagal mengemukakan empat orang saksi lelaki atau iqrar tertuduh.

Bahagian penguatkuasaan JAWI akan melakukan siasatan segera ke atas isu fitnah yang dilemparkan ke atas Anwar itu.

Demikian dinyatakan oleh peguam Kamar Ainiah Kamaruzzaman, salah seorang peguam yang mewakili Anwar ke pejabat JAWI pagi tadi. Seorang lagi peguam beliau ialah Ahmad Shabrimi Mohamed Sidek.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu telah hadir membuat aduan pagi tadi dan ditemani oleh isteri beliau yang juga Presiden KeADILan, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail beserta dua orang peguamnya.

"Saya telah membuat aduan kepada bahagian penguatkuasaan untuk membersihkan nama saya dan keluarga daripada fitnah jahat dan mengaibkan ini," kata Anwar sejurus selepas itu.

Menurut Anwar, beliau telah dinasihatkan ulamak dna peguam, beliau telah membawa kes ini mengikut undang-undang peruntukan 'qazaf'.

Berhubung isu bermubahalah (sumpah laknat) yang heboh dibangkitkan demi membersih tuduhan terhadapnya, Anwar menyatakan ulama melarangnya berbuat demikian.

Katanya lagi, sumpah menjunjung Al-Quran tidak ada nas atau dalilnya dalam Islam dan beliau akur dengan nasihat yang diberi oleh ulama yang melarangnya bersumpah dengan Al-Quran.

"Ini isu jenayah. Kalau siapa buat tuduhan, dia kena jawab," kata Anwar.

Tiada ulasan: