Najib sebagai pengganti, satu strategi licik Abdullah
Basiron Abdul Wahab
TEMERLOH - PAS Pekan tidak menaruh keyakinan Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak akan berjaya menjadi pengganti Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri Malaysia.
Yang Dipertua PAS Kawasan itu, Ustaz Abu Kasim Manaf berkata, pengumuman Abdullah untuk menyerah kuasa kepada Najib pada 2010 hanyalah suatu strategi politik beliau untuk mengurangkan musuh dan tekanan pelbagai pihak yang mahukan beliau melepaskan jawatan presiden Umno.
Katanya, pengumuman peralihan kuasa kelmarin adalah percubaan untuk mengukuhkan kedudukanya sekaligus mematikan kritikan dalam dan luar parti terhadapnya. Pada masa sama imej Abdullah dapat ditingkatkan dan dilihat sebagai pemimpin berwibawa dan sedia mendengar pandangan ahli parti diperingkat akar umbi.
Sedangkan, kata Abu Kasim pada masa sama Abdullah tahu Najib mempunyai pelbagai kelemahan termasuk isu peribadi yang serius dan tidak mungkin melayakkan dirinya untuk dilantik sebagai perdana menteri.
"Untuk tahap ini Abdullah berjaya mengikat pengikut Najib supaya menunggu dan bersabar selama dua tahun ini," ujarnya.
Jelas Abu Kassim, pengumuman plan peralihan kuasa Abdullah adalah strategi politik paling licik Abdullah setakat ini kerana melaluinya Abdullah berjaya memadamkan desakan supaya berundur dan mematikan kritikan daripada kumpulan pro bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad.
Beliau percaya penyokong Tun Mahathir masih berpengaruh di dalam Umno dan Abdullah tidak boleh mengambil risiko untuk berhadapan dengan banyak musuh dalam suatu masa.
"Dengan cara itu, kedudukanya dapat diperkukuhkan semula dan dia hanya perlu berhadapan dengan satu musuh sahaja ialah Pakatan Rakyat (PR) dan Anwar Ibrahim," katanya.
Bagaimanapun, Anwar kini berdepan dengan serangan kumpulan Mahathir yang pro Najib dan kumpulan itu telah cuba menggunakan kaedah lama untuk 'membunuh' Anwar melalui tuduhan liwat buat kali kedua.
Abu Kasim berkata, walaupun tidak semua orang dapat dijinakkan Abdullah melalui stategi peralihan kuasanya tetapi sekurang-kurangnya dia berjaya mengendurkan suasana dan mungkin juga berjaya mengurangkan serangan daripada kumpulan pro Mahathir.
Kini yang tinggal adalah kumpulan Tengku Razaliegh Hamzah (Ku Li) bagaimanapun Abdullah tidak bimbang kerana Ku Li dipercayai tidak mempunyai kekuatan (pencalonan) mencukupi untuk mencabarnya dalam pemilihan Umno Disember ini. - mks. _
Tiada ulasan:
Catat Ulasan