PAS cabar Syed Hamid buktikan Pakatan Rakyat rancang perhimpunan
Intan Abdullah
KUALA LUMPUR - Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar mencabar Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Syed Hamid Albar agar mengemukakan bukti yang kukuh yang mengaitkan wujudnya perancangan awal Pakatan Rakyat bagi mengadakan perhimpunan bagi menyokong usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi Isnin lalu.
"Saya cabar beliau membuktikan bahawa wujud persepakatan awal tersebut, tetapi janganlah menggunakan sumber bertaraf maklumat tepi longkang dari belakang Jalan Raja Laut," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.
Menurutnya, jika gagal berbuat demikian lebih baik Syed Hamid meletakkan jawatannya sebagai salah seorang menteri kabinet.
Beliau turut mempertikaikan kesahihan maklumat dan sumber yang diperolehi sehingga menghasilkan tindakan yang menyebabkan rakyat menderita kesusahan.
"Apa asas maklumat tersebut dan bagaimana pihak polis begitu lemah sehingga dapat menerima maklumat yang serupa itu?
"Dengan itu, tidak hairanlah jika kita lihat sehingga kini pihak polis masih tidak dapat menangkap pembunuh adik Nurin Jazlin Jazimin dan gagal mengesan adik Sharlinie - ini suatu kelemahan yang ketara sistem keselamatan negara," tegasnya.
Menafikan penglibatan PAS dengan perhimpunan yang diuar-uarkan di bangunan parlimen semalam, ahli parlimen Pokok Sena itu juga percaya pihak yang terlibat mempunyai agenda tersembunyi, yang sengaja ditimbulkan tanpa suatu tujuan yang jelas.
"Keadaan ini membahayakan semua pihak khususnya rakyat yang semakin hari semakin tertindas, bahkan ia juga adalah merupakan usaha untuk mencemarkan nama baik Dato' Seri Anwar Ibrahim dan Pakatan Rakyat selain bermotif mencetuskan huru-hara," katanya lagi.
Sementara itu, Ketua Penerangan KeADILan, Tian Chua turut menyatakan perkara yang sama sambil melahirkan kekecewaan atas tindakan pihak polis dalam mengendalikan isu tersebut.
"Di mana pertimbangan beliau selaku menteri kabinet sehingga memutuskan suatu tindakan yang mengakibatkan rakyat terpaksa menghadapi kesukaran apabila terpaksa menanggung beban akibat kesesakan jalan raya yang melampau," tegasnya.
Menurutnya lagi, perhimpunan bukanlah suatu perkara baru dalam sistem demokrasi negara ini sehingga menyebabkan pihak polis perlu mencetuskan suasana tidak selesa kepada seluruh rakyat di Kuala Lumpur.
"Apa kena mengena dia (Syed Hamid) dengan hal ini, langsung tidak profesional malah tidak pernah memikirkan kesan buruk akibat tindakan beliau terhadap rakyat.
"Kerja dia menjaga keselamatan, walau apapun alasannya beliau tidak ada sebab untuk menyusahkan seluruh warga Kuala Lumpur sehingga mereka mengalami kerugian yang teruk," ujar Ahli Parlimen Batu itu.
Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi DAP, Dr Tan seng Giaw pula menafikan tuduhan Syed Hamid bahawa beliau terlibat dalam satu perbincangan sulit membabitkan beberapa pimpinan Pakatan Rakyat dan badan bukan kerajaan (NGO).
Dr Tan juga menjelaskan bahawa beliau turut mendapatkan pengesahan dakwaan Syed Hamid sebaik mendapat maklumat mengenai laporan akhbar The Star Online mengenai pertemuan Pakatan Rakyat termasuk Lim Kit Siang, Guan Eng, Dr Tan dan Dr Hatta Ramli.
"Syed Hamid perlu menjalankan siasatan terhadap sumber yang menyatakan mengenai pertemuan tersebut yang dikatakan bertujuan untuk menganjurkan perhimpunan terbabit," katanya senada dengan penasihat DAP, Lim Kit Siang kepada Harakahdaily.
Jika tidak ujarnya, Syed Hamid perlu mengubah struktur sistem maklumat dan kaedah penyampaiannya.
"Ini kerana kesemua tuduhan tersebut tidak benar dan beliau mesti menarik balik dakwaan itu.
"Saya juga berharap unit risikan dan syed hamid lebih berhati-hati dalam menggunakan maklumat yang diterima," ujarnya lagi.
Selain itu, Harakahdaily turut mendapatkan penjelasan daripada Pengerusi Jawatankuasa Hak Asasi Majlis Peguam, Edmund Bon mengenai dakwaan Syed Hamid bahawa Majlis Peguam turut terlibat dalam perbincangan mengenai perancangan awal untuk mengadakan perhimpunan di bangunan parlimen tempoh hari.
"This is nonsense (Ia suatu kenyataan yang tidak masuk akal)!" katanya sambil menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut.
Beliau berkata, tuduhan tersebut sangat serius dan beliau akan segera mengemukakannya kepada Pengerusi Majlis Peguam, Ambiga Sreevasagam agar dapat mengambil tindakan yang sewajarnya.
"Saya kesal dengan mutu risikan kerajaan yang tidak betul dan tidak seimbang, malah ia seolah-olah merupakan cubaan untuk mencemarkan nama dan imej Majlis Peguam.
"Apapun, saya harap mereka menarik balik kenyataan tersebut," katanya merujuk kepada laporan yang disiarkan Utusan Online hari ini.
Menurut laporan beberapa akhbar arus perdana hari ini, pihak polis mendakwa mempunyai maklumat risikan lengkap mengenai cubaan Pakatan Rakyat mengadakan demonstrasi di hadapan bangunan Parlimen semalam sehingga memaksa pihak berkuasa mengadakan sekatan jalan raya yang menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk.
Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Syed Hamid Albar berkata, maklumat itu diperoleh daripada ceramah pakatan pembangkang, blog dan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar kepada pemimpin peringkat bahagian.
"Polis terpaksa mengambil tindakan tegas bagi memastikan ketenteraman awam berikutan terdapat maklumat risikan bahawa demonstrasi ini juga akan melibatkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Tenaganita dan Majlis Peguam," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di bangunan Parlimen semalam. - mns/mks._
Tiada ulasan:
Catat Ulasan