Pegawai kanan Jabatan Peguam Negara akan ditempatkan di BPR
KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara akan menempatkan seorang pegawai kanannya sebagai Pengarah di Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Badan Pencegah Rasuah (BPR) bagi membuat keputusan berhubung semua kes siasatan badan itu.
Pegawai kanan itu akan bertanggungjawab dari segi pentadbiran untuk sebarang laporan kepada Ketua Pengarah BPR.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan ibu pejabat BPR di sini hari ini, penempatan pegawai itu berikutan keputusan yang diambil oleh Jabatan Peguam Negara agar semua kes yang disiasat termasuk kes-kes berkepentingan awam dikendalikan oleh bahagian itu tanpa perlu merujuk kepada Peguam Negara.
Langkah itu juga sebagai usaha meningkatkan keberkesanan dan kecekapan keskes yang dikendalikan BPR, jelas kenyataan itu lagi.
Sebelum ini, keskes melibatkan kepentingan awam akan dirujuk kepada pihak Peguam Negara manakala bahagian itu hanya mengendalikan kes-kes lain.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Siasatan BPR Datuk Mohd Shukri Abdull pada satu sidang akhbar menjelaskan langkah terbaru itu bermaksud kertas siasatan BPR tidak akan sampai ke Pejabat Peguam Negara lagi, sebaliknya berhenti setakat di bahagian Perundangan dan Pendakwaan BPR.
Tetapi Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan BPR mesti dari Pejabat Peguam Negara kerana kuasa membuat keputusan sama ada hendak mendakwa atau tidak masih di bawah kuasa pendakwa raya, katanya. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan