Pemeriksaan gigi bayi diwajibkan di semua hospital, klinik kerajaan
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan menjadikan pemeriksaan kesihatan gigi dan mulut terhadap bayi sejak mereka berusia setahun, sebagai sesuatu yang wajib di semua hospital dan klinik kerajaan, berkuatkuasa serta merta.
Menteri berkenaan Datuk Liow Tiong Lai berkata pemeriksaan itu akan dilakukan apabila seseorang bayi dibawa untuk menjalani pemeriksaan kesihatan bulanan.
"Ia akan menjadi sebahagian daripada proses pemeriksaan. Kami mahu, apabila ibu bapa membawa anak mereka mendapatkan pemeriksaan perubatan setiap bulan, kanak-kanak itu juga akan menjalani pemeriksaan berkaitan kebersihan mulut," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Persatuan Pergigian Paediatrik Asia keenam di sini hari ini.
Beliau berkata langkah itu juga sejajar dengan matlamat kementerian berkenaan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang pentingnya penjagaan gigi dan mulut, yang kini meliputi kanak-kanak berusia bawah empat tahun.
"Kami percaya, penjagaan gigi perlu bermula seawal yang mungkin. Janganlah sampai gigi dah rosak baru nak selamatkan gigi tu," katanya.
Beliau berkata sejajar dengan keputusan itu, lebih banyak jururawat akan dilatih bagi menjalankan tugas berkenaan dan memberi penerangan yang diperlukan kepada ibu bapa.
Kementerian Kesihatan dengan kerjasama sektor swasta, katanya akan mengadakan kempen pergigian paediatrik di seluruh negara, terutama di pusat penjagaan kanak-kanak, taman didikan kanak-kanak dan pusat beli-belah bagi meningkatkan kesedaran ibu bapa dan penjaga kanak-kanak tentang kesihatan gigi dan mulut.
Liow berkata kementerian juga akan melatih lebih banyak doktor gigi bagi meningkatkan nisbah doktor gigi:penduduk daripada 1:8000 pada masa ini kepada 1:4000 pada 2020.
Mengulas tentang rancangan peralihan teraju kepimpinan Umno daripada presidennya Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada timbalan presiden Datuk Seri Najib Tun Razak pada pertengahan 2010, Ketua Pemuda MCA itu berkata keputusan itu akan mengukuhkan perpaduan dalam Umno dan Barisan Nasional (BN).
"Saya rasa perkara ini diterima baik oleh rakyat dan persefahaman sedemikian dapat memastikan kestabilan dan pengukuhan parti," katanya.
Semalam, Abdullah mengumumkan akan menyerahkan terajui kepimpinan Umno kepada Najib pada pertengahan 2010.
Liow berkata beliau juga yakin rakyat daripada pelbagai lapisan akan terus memberi sokongan penuh kepada Abdullah dalam tempoh peralihan itu.
"Saya rasa, dalam jangka masa itu, tidak akan timbul apa-apa masalah kerana beliau (Abdullah) akan terus melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik dan mendapat sokongan kuat daripada rakyat," katanya. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan