Pemuda PAS Johor hargai keputusan MBJB batal konsert Inul
Salman Hussin
BATU PAHAT- Pemuda PAS Johor menyambut baik keputusan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), tidak membenarkan konsert dangdut artis Indonesia, Inul Daratista, yang dijadual pada 19 Julai ini, di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin, dekat sini.
"Keputusan MBJB tidak mengeluarkan permit kepada penganjur untuk mengadakan konsert ini adalah satu tindakan yang sangat tepat dan bertanggung jawab," kata Ketua Pemuda PAS Johor, Khairul Faizi Ahmad Kamil, ketika dihubungi.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan akhbar penganjur konsert ini, IMF Prima, berhubung pembatalan konsert ini.
Menurut Faizi, pada 11 Julai lalu, Pemuda PAS Johor telah menghantar memorandum kepada Menteri Besar Johor, Dato' Abdul Ghani Othman, bagi membantah penganjuran konsert ini.
"Sehingga hari Selasa, kita dimaklumkan Pejabat MB masih tidak meluluskan permohonan bagi mengadakan konsert ini dan kenyataan akhbar pihak penganjur berhubung pembatalan konsert tersebut, amat melegakan kita.
"Kita juga difahamkan pada 10 Julai lalu, pihak penganjur telah mengemukakan rayuan kepada MBJB, tetapi rayuan mereka ditolak, bagaimanapun keputusan MBJB menolak rayuan ini telah menimbulkan tanda tanya kepada penganjur.
"Bagi kita ketegasan MBJB ini menunjukkan keperihatinan mereka terhadap kepentingan sosial rakyat terutama golongan muda.
"Berdasarkan kepada latar belakang artis dangdut yang membawa imej lucah dalam persembahannya sebelum ini, maka amat wajar sekali MBJB dan Kerajaan Johor, tidak membenarkan konsert ini diadakan di negeri ini.
"Kita juga mengharapkan keputusan sama diambil Kerajaan Negeri serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), terhadap konsert-konsert seumpama ini pada masa depan.
"PAS tidak sekali-kali menentang hiburan kerana kita faham ianya satu keperluan bagi setiap manusia, tetapi biarlah hiburan yang bersifat mendidik dan menjurus ke arah kebaikan dunia dan akhirat, bukan melalaikan atau menyesatkan manusia, lebih-lebih lagi umat Islam," ujarnya lagi. - mns_
Tiada ulasan:
Catat Ulasan