HALAMAN SANTAI

Sabtu, 12 Julai 2008

Penyakit baru DBKL?
Subky Abdul Latif


Telah datang ke pengetahuan saya bahawa Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL) selalunya melempahkan kebajikan dan kemudahannya kepada penduduk di seluruh wilayah itu tanpa mengira dari kawasan mana saja.

Permohonan mengetar jalan misalnya. Mana-mana jalan yang berlubang, apabila dilaporkan cepat-cepat diambil tindakan, hatta jalan itu sepanjang mana pun boleh diturap semula.

Hatta menjelang pilihan raya umum ke-12 lalu, ada jalan-jalan di Kampung Padang Balang di daerah Sentul rosak dan berlubang. Tetapi pada keseluruhannya masih elok.

DBKL amat bermurah hati mengetar semula semua jalan. Bukan sekadar jalan yang dilalui itu disapu tar, hingga kebanyakan rumah tar sampai ke tangga dan ke pintu, malah termasuk ke pintu dapur.

Untuk apa-apa majlis masyarakat yang memerlukan khemah, boleh dapat khemah bandar raya. DBKL tidak pernah cerewet.

Tetapi pilihan raya umum ke-12 yang memberikan satu kerusi Parlimen saja kepada BN di Wilayah Persekutuan, iaitu di Setiawangsa, maka kebajikan dan kemudahan itu dikatakan telah disulitkan.

Telah ada sungutan bahawa kemudahan kebajikan dan kemudahan itu sudah tidak dilayan seperti dulu. Pemohon ditanya dari kawasan mana mereka tinggal?

Kalau dari Bandar Tun Razak atau Titiwangsa, maka dikatakan sudah tidak mungkin lagi.
Kalau pemohon itu dari kawasan Setiawangsa, satu-satunya kawasan yang dimenangi BN dan ia kawasan Menteri Wilayah Persekutuan pula, maka dikatakan dilayan dan cepat pula layanannya.

Jika mahu dapat perhatian segera, maka cari kawan-kawan dari Setiawangsa dan gunakan alamatnya. Itu saja penyelesaiannya. Tetapi ia dikira leceh.

Kononnya orang yang tidak suka bising tidak lagi mahu mengadu dan berurusan dengan DBKL. Jika kebajikan dan kemudahan itu diperlukan, diikhtiarkan sendiri.

Layanan buruk dikatakan dilakukan sebagai tindak balas pengundi tidak memberikan sokongan kepada BN. Dasar itu tidak berubah bagi kawasan Setiawangsa.

Apakah benar atau sekadar fitnah untuk memburuk-burukkan DBKL dan Menteri Wilayah Persekutuan serta Datuk Bandarnya?

Kiranya ia benar berlaku, maka ia adalah satu kebebalan menteri. Tetapi kalau ia bukan arahan langsung atau tidak langsung dari menteri, kebebalan itu adalah mungkin dari Datuk Bandar. Dua sebab ia dibuat begitu. Pertama untuk memberi kesan negatif kepada menteri. Atau kedua kerana terlalu pro dan fanatik BN, maka terlalu hendak membela BN dan kerajaannya, ia mengambil langkah itu, tanpa disedari ia menimbulkan kezaliman.

Untuk berlaku adil kepada DBKL saya belum menerima bulat-bulat pengetahuan yang disampaikan itu. Mungkin ia dibuat semata-mata untuk memburukkan DBKL dan Datuk Bandarnya serta menterinya.

Apa yang perlu dibuat sekarang adalah semua pihak perlu bermuhasabah. Pertama Menteri dan Datuk Bandar mesti menjalankan khidmat sejujur-jujurnya kerana Allah dan jadikan amanah yang diberikan demi melaksanakan keadilan dan kebenaran.

Laksanakan tanggung jawab bagi menjadikan Islam Hadhari berkesan untuk memajukan negara, rakyat dan Islam. Jangan jadikan Perdana Menteri gagal dengan Islam Hadharinya. DBKL mesti bebas dan membuat yang terbaik bagi memuaskan hati penduduk.

Orang ramai mesti membuktikan apa yang mereka sangka DBKL melayan Setiawangsa saja suatu tuduhan yang betul. Bukan suatu fitnah kepada DBKL. Semua orang mesti bersama-sama mendedahkan apa yang dikatakan tidak betul kepada masyarakat.

Semua yang dikatakan layanan anak tiri itu kepada semua bloger. Bloger-bloger yang amat banyak dan bebas boleh memuatkan apa yang diadukan itu. Dan orang ramai sendiri boleh membuat laman web sendiri. Anak-anak yang kebanyakan sudah terdedah dengan teknologi maklumat dapat membantu ibu bapa menyampaikan sungutan mereka dalam blog sendiri.

Untuk lebih berkesan sampaikan aduan itu kepada blog Dr. Mahathir dan Raja Petra dan lain-lain yang masing-masing pada masa ini mahu menegakkan kebenaran dan keadilan.

Semua bloger sekarang boleh meninjau orang ramai tentang apa yang dikatakan DBKL menganaktirikan penduduk Wilayah Persekutuan yang di luar Kawasan Setiawangsa.

Bloger tentu mahu tahu benar atau tidak DBKL telah tidak memberi keadilan kepada penduduk Wilayah kerana majoriti pengundi tidak memberi undi kepada calon BN. Sekarang pengetahuan itu sudah dibangkitkan, tetapi ia belum tentu betul. Maka bloger dirasakan bertanggungjawab untuk memastikannya ia betul atau tidak.

Kiranya apa yang dikatakan itu betul berlaku, maka amalan itu mesti dikutuk. Datuk Bandar dan menteri berkenaan mesti dikutuk.

Tetapi kiranya ia tidak benar, blogger boleh menghukum penyebar berita palsu dengan mengutuknya juga. Sikap menyebarkan pengetahuan palsu hanya megelirukan suasana dan tidak ada apa-apa manfaat.

Orang ramai di Wilayah Persekutuan dan bloger boleh mengambil langkah memberi maklumat betul menentukan mereka mendapat perkhidmatan yang adil dari Menteri Wilalyah Persekutuan dan Datuk Bandar. Kedua pegawai yang diamanah itu mesti peka dan menjalankan amanah dengan adil supaya khidmat mereka tidak sia-sia.

Setiap orang di Wilayah memerlukan kebajikan dan kemudahan DBKL dan kebajikan itu tidak patut dilambakkan di Setiawangsa saja.- tajdid_

Tiada ulasan: