HALAMAN SANTAI

Jumaat, 11 Julai 2008

Polis ambil keterangan Bala
Oleh NUZULSHAM SHAMSUDDIN


KUALA LUMPUR - Polis telah menghantar sepasukan anggotanya dan mengambil keterangan P. Balasubramaniam di sebuah negara tempat penyiasat persendirian itu 'bersembunyi'.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Mohd. Bakri Zinin berkata, keterangan Balasubramaniam merangkumi siasatan berhubung dua akuan bersumpah yang dibuat di negara ini baru-baru ini.

Menurut beliau, keterangan tersebut sedang diambil dan ia akan berterusan sehingga siasatan terhadap kedua-dua akuan bersumpah lengkap.

Bagaimanapun, tegas Mohd. Bakri, pihaknya tidak akan mendedahkan di negara mana Balasubramaniam dan ahli keluarganya berada.

Mengulas lanjut perkara itu, Mohd. Bakri memberitahu, walaupun polis telah dapat mengesan Balasubramaniam, dia tidak ditahan malah bebas bergerak di negara yang dia berada kini.

"Dia merupakan rakyat Malaysia yang memasuki negara tersebut secara sah jadi dia bebas, kita tidak tahan beliau.

"Kita hanya ambil keterangannya saja,'' kata beliau ketika dihubungi Kosmo!.

Semalam akhbar melaporkan, R. Kumaresan buat kali pertama menerima panggilan daripada Balasubramaniam yang memaklumkan dia bersama keluarganya selamat.

Kumaresan, 27, mendakwa menerima mendapat panggilan pada pukul 11.30 malam itu daripada bapa saudaranya yang menggunakan nombor peribadi.

Dalam perbualan beberapa minit itu Kumaresan berkata, dia terdengar bunyi pintu ditutup sebelum Balasubramaniam memutuskan talian.

Penyiasat persendirian itu bersama isteri dan tiga anaknya yang berusia antara enam dan 11 tahun 'hilang' sejak 3 Julai lalu.

Balasubramaniam dalam akuan bersumpah pertama 1 Julai membuat pelbagai dakwaan yang mengaitkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Altantuya manakala akuan bersumpah kedua pada 3 Julai menarik balik semua tuduhan tersebut.

Tiada ulasan: