Polis ambil keterangan peguam Balasubramaniam
KUALA LUMPUR: M.Puravalen, peguam yang mewakili penyiasat persendirian P. Balasubramaniam (gambar) hari ini dipanggil polis untuk merekod kenyataannya berhubung akuan bersumpah kedua yang dibuat anak guamnya itu.
Puravalen tiba di Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) di Kompleks Kerajaan Bukit Perdana di sini pada pukul 10 pagi dengan ditemani presiden Majlis Peguam Ambiga Sreenevasan dan tiga anggota majlis tersebut.
"Saya menerima faks dari polis berhubung perkara ini (untuk direkod keterangan) petang semalam dan dikehendaki hadir pukul 10 pagi hari ini," kata Puravalen kepada pemberita selepas keluar dari bangunan itu pada pukul 11.15 pagi.
Ketika ditanya pemberita apakah soalan yang ditanya polis, beliau berkata: "Saya tidak boleh bagi tahu apa soalan yang ditanya oleh polis. Ini antara saya dan polis.
"Bagaimanapun ada beberapa soalan yang saya tidak boleh jawab, kerana ini adalah melanggar etika saya sebagai peguam dan kerana saya perlu menjaga hubungan profesionalisme saya dengan anak guam saya," katanya.
Beliau berkata tindakan polis memanggilnya merupakan satu perkara luar biasa kerana kebiasaannya hanya anak guam yang dipanggil untuk direkodkan keterangan.
Pada 4 Julai lepas, Balasubramaniam membuat akuan bersumpah kedua yang antara lain menarik balik tuduhannya dalam akuan bersumpah pertamanya bertarikh 1 Julai yang mendakwa Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai hubungan dengan wanita Mongolia yang mati dibunuh Altantuya Shaariibuu.
Balasubramaniam yang merupakan seorang saksi perbicaraan kes bunuh Altantuya berkata semua tuduhan terhadap Timbalan Perdana Menteri dalam akuan bersumpah pertamanya itu adalah tidak tepat dan tidak benar serta ia dibuat ketika dia dalam keadaan tertekan. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan