HALAMAN SANTAI

Khamis, 17 Julai 2008

Polis teruskan sekatan jalan raya pantau perhimpunan haram


SHAH ALAM: Polis akan meneruskan sekatan jalan raya di seluruh Selangor untuk memantau perhimpunan haram dan mencegah kejadian yang boleh menggugat keselamatan awam, kata Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar.

Beliau berkata sekatan jalan raya itu juga bertujuan memastikan tiada elemen yang tidak sihat yang dibawa dalam perhimpunan tanpa permit sehingga boleh mengganggu kenteraman awam selain mencegah kejadian jenayah.

"Ada pihak yang cenderung anjurkan perhimpunan tanpa permit ini. Kita tidak tahu apa elemen yang dibawa sekali dengan perhimpunan itu jadi sekatan ini perlu untuk memantau mereka," katanya kepada pemberita selepas majlis Dialog Mencegah Jenayah dan Program Kejiranan di kawasan kilang di Seksyen 26 di sini hari ini.

Khalid berkata sehingga kini sekatan jalan raya dijalankan secara berubah-ubah di 22 lokasi di seluruh Selangor dan ia akan diteruskan sehingga ke satu tempoh yang akan ditetapkan.

"Saya sedar sekatan jalan ini sedikit sebanyak menimbulkan ketidakselesaan, tetapi saya mohon maaf kerana ia perlu diteruskan," katanya.

Berhubung kejadian seorang penjenayah yang ditembak mati di Kampung Subang dekat sini semalam, Khalid berkata suspek yang berusia 20an merupakan penjenayah kes samun kereta mewah.

Suspek ditahan dalam satu sekatan jalan raya di Seri Kembangan tetapi berjaya melarikan diri dengan sebuah kenderaan.

Beliau berkata selepas dikejar polis sehingga di Kampung Subang, suspek bertindak keluar daripada kenderaan dan cuba menyerang polis dengan sebilah sabit sebelum ditembak mati oleh polis pada kira-kira pukul 9.30 malam itu.

Beliau berkata suspek mempunyai rekod jenayah samun kereta di sekitar Lembah Klang.

Terdahulu, beliau berkata program dialog itu antara wakil pekilang dan anggota polis bagi mendapatkan maklumat dan pandangan berhubung masalah keselamatan berbangkit di sekitar kawasan kilang terbabit.

"Trend jenayah di Shah Alam menurun sejak akhirakhir ini dan Insya Allah ia akan terus turun hasil kerjasama semua pihak dengan anggota polis," katanya. BERNAMA

Tiada ulasan: