HALAMAN SANTAI

Isnin, 14 Julai 2008

Rasuah visa: Lagi pegawai kanan Imigresen, abang ipar ditahan
Mstar Online


PETALING JAYA: Seorang lagi pegawai kanan Jabatan Imigresen dan anggota keluarganya ditahan Badan Pencegah Rasuah (BPR) awal pagi ini bagi membantu siasatan kes rasuah pengeluaran visa kepada pekerja-pekerja asing.

Difahamkan pegawai itu ditahan di rumahnya.

Sekurang-kurangnya dua yang lain turut ditahan BPR menjadikan kesemua 10 orang ditahankan berhubung isu berkenaan.

mStar Online juga difahamkan beberapa tangkapan akan dibuat dalam waktu terdekat.

Mereka telah dihadapkan di Mahkamah Majistret Klang pagi ini untuk mendapatkan perintah tahanan reman.

Bernama melaporkan, Majistret Zarifah Zainal Abidin membenarkan permohonan tahanan reman apabila pegawai lelaki berusia 54 tahun itu dibawa ke mahkamah pada pukul 11.45 pagi ini.

Zarifah turut membenarkan permohonan tahanan reman bagi tempoh yang sama terhadap abang ipar pegawai kanan itu yang berumur 59 tahun kerana disyaki menjadi orang tengah dalam kes itu yang berlaku di Selangor.

Difahamkan kedua-dua mereka ditahan semalam iaitu pegawai itu di pejabatnya di Putrajaya kira-kira pukul 3 petang manakala abang iparnya di Negeri Sembilan.

Dalam operasi bermula awal minggu ini sehingga semalam, BPR telah menahan reman tujuh orang termasuk Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Wahid Mohd. Don, 55, bagi menyiasat isu yang sama.

Kes tersebut terbongkar berikutan aduan yang diterima BPR pada awal bulan ini yang mendakwa seorang ejen meminta bayaran RM350 daripada setiap pekerja asing untuk diberikan kepada pegawai kanan di Jabatan Imigresen.

Semalam, Pengarah Bahagian Siasatan BPR Datuk Mohd Shukri Abdull berkata, mereka yang ditahan sehingga semalam telah dikenakan tahanan reman antara empat dan lima hari untuk membantu siasatan.

"Dalam operasi itu, wang tunai hampir RM500,000 turut dirampas," katanya dan menambah, siasatan kes rasuah itu adalah hasil maklumat orang ramai.

Dalam pada itu, Bernama melaporkan, gara-gara beranggapan mudah untuk merasuah, seorang ahli perniagaan di sini terperangkap apabila memberi rasuah kepada seorang pegawai Badan Pencegah Rasuah (BPR) di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Gurun di Lebuhraya Utara Selatan di sini semalam.

Pengarah BPR Kedah, Idrus Jaafar berkata, ahli perniagaan terbabit pada mulanya ditahan di R&R Gurun Selatan pada pukul 6.45 petang untuk membantu siasatan mengenai kes rasuah terhadap pihak tertentu dalam sebuah jabatan kerajaaan di sini.

Katanya, ahli perniagaan berusia 31 tahun itu menjalankan perniagaan importeksport kenderaan berat dan BPR menerima maklumat mengenai kegiatan beliau memalsukan nombor chasis jentera berat untuk tujuan eksport.

"Kegiatan memalsukan nombor chasis itu dipercayai turut melibatkan "orang dalam" sebuah jabatan kerajaan," katanya di sini hari ini.

BPR dengan kerjasama Jabatan Kastam kemudian mengekori lelaki terbabit dan menahannya ketika beliau dalam perjalanan ke Pelabuhan Pulau Pinang untuk urusan mengeksport tiga buah jentera membajak ke Nairobi, Kenya semalam.

"Bagaimanapun sebaik sahaja ditahan untuk siasatan, ahli perniagaan itu terus memberi suapan sebanyak RM2,000 kepada pegawai BPR dari ibu pejabat untuk menutup kes kegiatannya", kata beliau.

BPR kemudiannya terus menahan lelaki terbabit atas kesalahan itu mengikut Seksyen 11B Akta Pencegahan Rasuah yang boleh membawa hukuman penjara tidak kurang daripada 14 hari atau denda dengan 10 kali ganda nilai suapan.

Tiada ulasan: