Selangor Kaji Naikkan Kadar Mas Kahwin
MURIZA ABDUL HAMID
SHAH ALAM – Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Dato' Dr Hasan Mohamed Ali berkata beliau akan meneliti semula rasional cadangan Selangor untuk menaikkan kadar mas kahwin kepada pasangan yang akan bernikah di negeri ini.
“Saya tengok dulu rasional cadangan itu. Kalau setakat mengikut negeri lain untuk dinaikkan, itu saya tidak setuju,” katanya ketika diminta mengulas mengenai laporan akhbar tempatan hari ini mengenai cadangan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Dato’ Mohamed Kushrin Munawi untuk menaikkan kadar mas kahwin di Selangor.
Cadangan itu dibuat bagi menyelaraskan semula kadar tersebut mengikut perkembangan semasa.
Menurut Dr Hassan lagi, beliau akan bersetuju dan menyokong cadangan itu sekiranya rasional kenaikan mas kahwin itu berhubung kait dengan keadaan semasa ekonomi masa kini.
“Sekiranya ia tidak membeban kepada pasangan yang akan berkahwin, saya rasa saya boleh sokong cadangan itu,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan majlis penutup Seminar Menjana Islam Syumul di Hotel Carlton Holiday, di sini ..
Sehingga kini kadar mas kahwin yang ditetapkan masih belum berubah sejak 30 tahun lalu malah ia tidak pernah dikaji semula.
Kadar itu masih kekal sejak tahun 1979 di mana RM80 bagi pengantin perempuan yang pertama kali berkahwin manakala RM40 bagi yang berstatus janda.
Dalam perkembangan lain, Seminar Menjana Islam Syumul hari ini dihadiri oleh 160 orang peserta dari kalangan pemegang tauliah D1(penceramah), wakil-wakil badan bukan kerajaan (NGO) Islam dan wakil industri dari seluruh negeri Selangor.
Seminar selama setengah hari itu dianjurkan Institut Latihan dan Dakwah Selangor dengan kerjasama Jais dengan antara objektifnya memberi penjelasan berhubung konsep penghayatan Islam syumul dalam kehidupan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan