HALAMAN SANTAI

Isnin, 20 Oktober 2008

Nasihat Ketua Hakim Negara sebelum bersara

UTUSAN ONLINE


PUTRAJAYA - Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad yang secara rasmi menamatkan perkhidmatan selama 39 tahun dalam badan kehakiman hari ini berpesan kepada pengganti beliau supaya memikul tanggungjawab sebaik mungkin tanpa 'mengharap lebih daripada apa yang layak diterima'.

Ketika memberi peringatan serupa kepada hakim-hakim dan seluruh warga badan kehakiman, beliau menegaskan mengambil sesuatu yang tidak layak diterima atau dengan cara yang tidak betul, akan membawa kecelakaan.

Menurut Abdul Hamid, 66, badan kehakiman perlu dijaga dengan baik kerana ia benteng terakhir masyarakat untuk mendapat keadilan.

''Tugas kita ialah melakukan sehabis baik dengan jujur. Mungkin ada kalanya kita merasakan bahawa kita layak menerima sesuatu tetapi tidak memperolehnya.

''Dalam keadaan itu, kita patut menerima qadak dan qadar Allah S.W.T. Mungkin ada hikmah yang kita tidak tahu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perpisahan meraikan persaraannya sebelum disusuli sambutan Aidilfitri di Istana Kehakiman di sini.

Turut hadir Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zaki Azmi; Hakim Besar Malaya, Tan Sri Alauddin Mohd. Sheriff; Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi dan kakitangan mahkamah.

Abdul Hamid yang kelihatan ceria dan sesekali berseloroh ketika memberikan ucapan, hadir ditemani ahli-ahli keluarga termasuk isterinya, Toh Puan Hamidah Abdullah, anak lelakinya, Mohd. Azam, menantu, Rozlinda Yahya dan cucunya, Sofea Mohd. Arif berusia empat tahun.

Abdul Hamid bersara hari ini selepas dilantik sebagai Ketua Hakim Negara pada 1 November tahun lalu menggantikan Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim yang bersara wajib pada 31 Oktober tahun yang sama.

Beliau memperoleh ijazah LLB (Hon) dari Universiti Singapura dalam jurusan undang-undang sebelum memulakan perkhidmatan dalam kehakiman dan perundangan pada 11 Jun 1969.

Dalam ucapannya, Abdul Hamid turut menyatakan sepanjang perkhidmatannya, beliau tidak pernah meminta-minta atau melobi untuk kenaikan pangkat.

Malah kata Ketua Hakim Negara, beliau sedia bersara sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan pada 2004 dan sekali lagi mengulangi pendirian tegasnya untuk tidak meminta-minta kenaikan pangkat pada 2006.

Ujar Abdul Hamid lagi, beliau tidak pernah berkompromi terhadap kebebasan mahkamah dan amat menghormati konsep pembahagian kuasa.

Sehubungan itu, katanya, beliau telah menjalankan tanggungjawab sebaik mungkin dan menyerahkan kepada masyarakat untuk menghakimi sumbangannya.

''Mungkin saya ada melakukan kesilapan tetapi saya bersedia berdiri di hadapan Allah SWT untuk menjawabnya," tegas beliau.

Sejurus selesai memberikan ucapan, Abdul Hamid meninggalkan majlis itu untuk mengadakan pertemuan dengan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Pejabat Perdana Menteri.

Ketika ditanya pemberita perkembangan pertemuannya dengan Abdullah, beliau menyatakan, ia hanya bertujuan menyampaikan ucapan terima kasih, selamat tinggal dan selamat maju jaya kepada Perdana Menteri.

Tiada ulasan: