Oleh MOHD NUR ASNAWI DAUD
SEREMBAN: Menyayat hati apabila seorang bayi yang dilahirkan pembantu rumah warga Indonesia tersangkut dalam mangkuk tandas di rumah majikannya di Kampung Baru Cina, Batu 8, Jalan Labu, dekat sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 4 petang, bayi perempuan itu bagaimanapun mati dan mayatnya yang tersangkut terpaksa dikeluarkan sepasukan anggota bomba dan penyelamat yang dikejarkan ke tempat kejadian.
Pembantu rumah itu pula mendakwa tidak mengetahui dirinya hamil sehingga dia melahirkan bayi.
Ketika diambil daripada ejennya, pembantu rumah terbabit yang berusia 35 tahun dan dikenali sebagai Rozi dikatakan lulus pemeriksaan kesihatan.
Majikan mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Tan berkata, dia mengetahui kejadian itu selepas dihubungi anak lelakinya ketika di tempat kerja.
“Ketika kejadian, anak lelaki saya berusia 13 tahun ada di rumah dan dia menyedari wanita itu bersalin sebelum memaklumkan kepada jiran.
“Saya dan isteri bergegas pulang dan mendapati ramai orang ada di rumah, termasuk polis yang dimaklumkan mengenai kejadian itu,” katanya di sini, semalam.
Beliau berkata, mayat bayi malang itu cuba ditarik keluar oleh jiran yang datang membantu, namun gagal.
Mayat bayi itu akhirnya berjaya dikeluarkan sepasukan anggota bomba yang bergegas ke tempat kejadian selepas menerima maklumat.
“Bomba terpaksa memecahkan tandas rumah saya dan mayat bayi itu ditarik keluar selepas beberapa minit. Pembantu rumah itu diambil bekerja sejak 13 Jun tahun lalu dan saya sekeluarga tidak nampak tanda yang dia mengandung.
“Bagaimanapun, pagi semalam (kelmarin) dia ada mengadu sakit perut kerana datang bulan dan saya nasihatkan dia supaya berehat. Badannya yang besar menyebabkan saya juga tak nampak dia mengandung,” kata Tan.
Menurutnya, wanita itu juga sering memakai baju besar dan tiada perubahan ketara ditunjukkan seperti ibu mengandung lain.
“Kini saya terpaksa menutup tandas itu kerana anak saya takut untuk menggunakannya lagi,” katanya sambil memberitahu, pembantu rumahnya kini mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS).
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisiner Saiful Azly Kamaruddin, ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan memberitahu siasatan akan dilakukan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan