HALAMAN SANTAI

Isnin, 16 Februari 2009

BN yang tidak pernah insaf

Ahmad Tajdid


BELUM pun genap tiga bulan tragedi tanah runtuh yang mengorbankan lima nyawa, meranapkan puluhan rumah di Bukit Antarabangsa, Ampang dan menyebabkan ribuan penduduk berdekatan terperangkap akibat jalan penghubung ditimbus tanah runtuh, Menteri Kerja Raya Datuk Mohd Zin Mohamed mengumumkan keputusan kerajaan BN Pusat untuk meneruskan pembangunan projek di lereng-lereng bukit.

Malah kata Menteri terbabit, tiada pengharaman menyeluruh terhadap pembangunan di lereng bukit akan dikuatkuasakan kerajaan.

Pengumuman Mohd Zin ini disambut gembira Persatuan Hartanah dan Pemaju Perumahan Malaysia (REHDA) yang mendakwa pembanguan di lereng bukit boleh dijalankan dengan 'selamat' di Malaysia kerana negara ini mempunyai kumpulan pakar untuk mereka bentuk, memantau dan melaksanakan penyelidikan yang perlu.

Teruja dengan lampu hijau yang diberikan Kerajaan Pusat, REHDA lantas menggesa semua kerajaan negeri, terutamanya Selangor, supaya membatalkan pengharaman menyeluruh ke atas pembangunan di lereng bukit!

Begitu mudah Kerajaan Pusat dan REHDA membuat kesimpulan terhadap pembangunan berisiko membabitkan kawasan tanah tinggi di negara ini. Lebih mengaibkan, pengumuman itu dibuat sebelum laporan penuh kejadian tanah runtuh di Bukit Antarbangsa, 6 Disember lalu dibentangkan kepada umum.

Malah media baru-baru ini melaporkan bagaimana sidang media Mohd Zin digempur oleh seorang penduduk Bukit Antarabangsa yang mahukan penjelasan mengapa laporan berhubung tragedi tanah runtuh itu belum dikeluarkan Jabatan Kerja Raya.

Ketika tragedi yang menimpa Taman Bukit Utama dan Taman Bukit Mewah di Bukit Antarabangsa, Ampang berlaku, pelbagai pihak termasuk pemimpin Kerajaan Pusat mengeluarkan pelbagai kenyataan mengutuk pembangunan di lereng bukit dan kawasan tanah tinggi.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai contoh mendakwa pertimbangan komersial pembangunan untuk mengaut keuntungan telah mengetepikan soal keselamatan dan langkah penjagaan alam sekitar.

Najib dengan penuh selamba, mendedahkan betapa mudahnya kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan untuk mengalah dengan lobi pihak pemaju yang mahu membangunkan kawasan tanah tinggi meskipun Garis Panduan Pembangunan Tanah Tinggi 2002/2005 secara jelas melarang pembangunan projek di kawasan tanah tinggi 300 meter ke atas dengan berkecerunan lebih 35 darjah.

Menurut Najib, terdapat projek-projek di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Selangor dikenal pasti melanggari peraturan berkenaan.

"Kita lihat apabila satu-satu kawasan itu mempunyai nilai yang tinggi akan timbul tekanan daripada pihak pemaju untuk mengemukakan cadangan pembangunan yang pada akhirnya membawa kemudaratan kepada penghuni rumah berkenaan," gebang Najib.

Itu kata Najib tiga bulan lalu. Jelas beliau menyalahkan kerajaan negeri dan PBT terhadap tragedi tanah runtuh yang berlaku.

Tetapi kini kita dapat menyaksikan bagaimana Kerajaan Pusatlah sebenarnya yang menjadi dalang kepada seluruh aktiviti pembangunan tanah tinggi dan lereng bukit.

Nampaknya tragedi demi tragedi yang menimpa negara ekoran pembangunan di lereng bukit tidak menginsafkan kerajaan BN.

Bila tragedi berlaku dan nyawa terkorban, para pemimpin BN akan menuding jari ke pihak lain dan bersikap lepas tangan.

Tanpa perlu mengulas lanjut, episod ini sebenarnya mendedahkan rupa sebenar BN - sebuah parti yang bukan sahaja tidak mesra rakyat malahan tidak mesra alam!_

Tiada ulasan: