Ali Bukhari Amir
Layakkah Pak Lah menerima anugerah Beret Hijau Komando (BHK)? Hal itu yang terfikir dalam kepala orang-orang seperti saya. Apakah jasa PM Pak Lah terhadap tentera dan ketenteraan kita? Apa pula motif tentera menganugerahkan BHK itu?
Ada kemungkinankah semua ini ada motif tertentu supaya akhirnya Pak Lah berasa segan untuk menyiasat kemungkinan klip video 'latihan' itu sebenarnya adalah aksi bulian?
Kalau saya di tempat Pak Lah, tentu saya serba-salah mahu menyiasat klip video tersebut. Memang biasanya begitulah. Apabila kita sudah dapat habuan, kita secara tidak langsung akan rasa segan mengkritik pihak yang telah banyak memberi sogokan harta, pangkat dan anugerah itu. Adakah hal ini boleh dimasukkan dalam takrifan sogokan atau tidak?
Dulu, Abdullah segera mewujudkan inkuiri awam bagi tujuan menyiasat sikap polis yang merakam aksi ketuk ketampi wanita China dalam keadaan bogel. Mungkinkah kerana itu agaknya polis menolak syor IPCMC anjuran Pak Lah? So..Musa Hassan apa khabar?
Asal-usul latihan tentera?
Barangkali, tentera kita dilatih oleh British Military Administration (BMA) sekitar 1945, setelah pemerintahan Jepun berakhir selama tiga tahun di Malaya; daripada 1942 hingga 1945. Sebelum 1942, wajah British adalah rupa paras seorang saudagar (merchant).
British dalam acuan saudagar inilah yang berusaha keras menaja pangkat dan kedudukan mereka Residen di Perak, dan di serata negeri-negeri Melayu. Slogan British saudagar ini ialah kami tidak akan ganggu urusan agama Islam dan adat-istiadat Melayu.
"Kami hanya ingin berdagang sahaja," kata British dalam rupa paras saudagar itu. Modal inilah yang digunakan Portugis tatkala mula menyatakan niat mahu berdagang di Melaka yang terkenal dengan jolokan Venice Timur itu.
Pendek kata, terjajah jua seluruh Malaya bermodalkan manis mulut dan masin kata sang British dalam acuan saudagar itu. Tapi, pada ketika itu, anak-anak Melayu masih lagi tak dilatih sebagai tentera British kerana British ketika itu masih mengekalkan rupa parasnya sebagai British saudagar.
Mereka adalah watak jelmaan The Merchant of Venice dalam karya William Shakespeare yang terkenal itu. Saudagar ini banyak duit. Dengan wang, mereka membeli pangkat serta kekuasaan para pembesar. Anak-anak Melayu yang lemah iman dengan mudah mendaftar diri mereka sebagai tali barut yang telah membocorkan rahsia pertahanan Melaka.
Jadi, kebocoran rahsia pertahanan Melaka, Johor-Riau dan lain-lain negeri Melayu bukan sangat disebabkan oleh tertangkapnya para hulubalang, laksamana itu. Jadi, bukan kerana mereka diseksa keras, sehingga akibat tidak tahan menanggung seksa, lalu terbocorlah segala maklumat dan rahsia pertahanan itu.
Anehnya, mana-mana anak Melayu yang ditangkap Ferdinand Magellan seperti Panglima Awang (Enrique de Malacca) akhirnya telah berjaya mengelilingi dunia pula! Ringkasnya di sini, jika anak Melayu ditangkap, maka dengan akal bijaksana mereka dapat mengolah situasi yang baik pula terhadap diri, negara dan bangsanya.
Menurut sahibul riwayat, adapun nama Malaga di Sepanyol itu adalah berpunca daripada nama Melaka, wallahu'alam. Jadi, kesimpulannya, kalau tertangkap pun, mereka akhirnya menempah nama secara terhormat. Atau, mereka syahid, tenggelam bersama rahsia!
Talibarut menjadi barua
Jadi, Melayu lemah kerana wujudnya talibarut dan barua yang menjual maklumat rahsia pertahanan setelah kalah dengan godaan wang, pangkat dan kuasa yang ditawarkan oleh penjajah. Kita harus fikir, apakah latihan yang boleh menjadikan kita tak gelap mata?
Melayu tali barut ini bertukar nama kepada barua Jepun apabila Jepun menjajah. Paling memenatkan, tali barut British dan barua Jepun ini boleh menyelinap dalam mesyuarat-mesyuarat JKKK kampung lalu mereka bersuara paling lantang sehingga orang kampung menyangka mereka ini benar-benar pejuang. Ini tali barut dan barua kategori A.
Bagaimana corak latihan yang diterima oleh panglima, pendekar, laksamana, hulubalang Melayu dalam ilmu persilatan mereka?
Mereka yang benar-benar berjiwa hulubalang, pendekar dan laksamana pernah menjalani latihan bertapa, bergelut dengan makhluk alam ghaib, ditanam dalam tanah dalam waktu lama, memegang bara api, menikam tubuh sendiri dengan pisau tajam serta lain-lain yang biasa kita lihat dalam amalan silat Melayu.
Tak pasti pula adakah buli, ditampar muka, ditendang tubuh anggota adalah benar-benar latihan silat-silat Melayu? Bukan salah menerima latihan dan teknik pertahanan daripada luar negara. Perang Khandak misalnya adalah teknik peperangan Parsi yang ditiru Islam juga setelah Rasulullah s.a.w menerima pandangan Salman al-Farisi, keturunan Parsi.
Tiada salahnya menerima latihan komando British, New Zealand dan Great Britain. Tapi, harus disiasat dahulu, adakah kemungkinan teknik seksaan ini berasal daripada Mossad? Bukan kita tidak pernah dengar kes komando yang rosak mental mereka akibat deraan ini dan adakah kita harus terus menerima semua latihan anjuran British tanpa bantahan?
Wujudkah perkongsian pintar antara tentera-tentera Islam?
Adakah setakat ini, tentera-tentera Negara Islam OIC pernah bertemu dan bertukar-tukar fikiran berhubung strategi latihan bersama? Saya tak tahu, sebab itu saya bertanya.
Rakyat awam juga mahu tahu. Mereka membayar cukai yang digunakan untuk beli kapal selam Scorpene dari Perancis dan bom peledak C4 yang membunuh Altantuya, Mongolia itu. Mereka berhak bertanya. Saya cuma mewakili pertanyaan mereka sahaja.
Peralihan daripada 'British saudagar' kepada 'British tentera'
Syahadan, apabila panglima tentera kita mendakwa bahawa klip video itu adalah latihan yang diterima sejak dahulu, lantaran itu tidak perlu dipertikaikan lagi, maka kita bertanya lagi. Sejak bila latihan itu wujud? Dahulu itu bila? Bolehkah disebutkan tarikhnya?
Latihan itu sejak tentera-tentera Melayu yang terlatih sejak zaman istana jadi pengkalan hulubalang Melayukah? Menurut Sulalatus Salatin, saat Portugis ingin menawan Melaka, maka segala hikayat perang telah dibacakan di istana.
Maka Sultan Ahmad pun mengampunkan orang dan disuruh berhadir senjata; maka hari pun malamlah, segala hulubalang dan segala anak tuan-tuan semuanya bertunggu di balairung. Maka kata segala anak tuan-tuan itu, "Apa kita buat duduk saja ini? Baik kita membaca hikayat perang, supaya kita beroleh faedah daripadanya."
Maka sahut Tun Muhammad Unta, "Benarlah seperti kata tuan-tuan itu; baiklah Tun Indera Segara pergi pohonkan Hikayat Muhammad Hanafiah, sembahkan mudah-mudahan dapat patik-patik itu mengambil faedah daripadanya, kerana Peringgi akan melanggar esok hari."
Adakah sejak istana menjadi tempat pengkalan ketenteraan itu latihan komando bermula? Atau.. kita letakkan latihan ketenteraan, komando itu sejak pengaruh BMA mula menjalar tiba ke negara kita ini?
Inilah soalan yang paling penting sekali. Jika panglima tentera berkata, orang awam tidak perlu pertikaikan corak dan amalan ketenteraan, komando dengan alasan latihan itu sudah diamalkan sejak dahulu, maka kita ingin bertanya.. sejak dahulu itu sejak bila?
Sejak era Kesultanan Melayu purba atau sejak BMA (British Tentera, bukan British yang berwajah saudagar) latihan ketenteraan, komando yang dimaksudkan itu bermula?
Jika latihan itu bermula dengan kewujudan BMA, maka hal itu bersifat sementara kerana pada 1946, BMA dibubarkan dan mahu digantikan dengan persekutuan Malayan Union. Kalau latihan itu untuk menangani komunis maka hal itu sementara kerana komunis telah pun meletakkan senjata.
Adakah pasukan tentera dan komando menjadikan askar Zionis Israel sebagai musuh kita setelah komunis bukan lagi ancaman di Malaysia? Adakah Menteri Pertahanan, Abdullah Ahmad Badawi mengingatkan askar, komando tentang persiapan menangani Zionis?
Syahadan.. atas sebab-sebab inilah saya ingin bertanya. Adakah pihak tentera jujur ketika memberikan anugerah Beret Hijau Komando? Dan, adakah Abdullah jujur berasa bahawa beliau layak menerima anugerah tersebut?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan