HALAMAN SANTAI

Selasa, 17 Februari 2009

Pihak tertentu berniat jahat dalam pengedaran foto Adun Selangor

Saidah Hairan


KUALA LUMPUR - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yakin isu pengedaran foto atau video bogel, Adun Bukit Lanjan, Elizabeth Wong Keat Ping digunakan pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab untuk tujuan politik.

Beliau berharap rakyat khususnya di negeri Selangor tidak terus membuat keputusan sebelum pihak polis mengeluarkan hasil penyiasatan terhadap laporan yang dibuat oleh Elizabeth.

Katanya, sebagai manusia, Elizabeth mempunyai hak untuk menjalani kehidupan dan semua pihak harus menghormatinya.

Sehubungan itu, beliau berkata, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri akan memberikan sokongan kepada beliau bagi menghadapi saat yang paling mencabar.

Dalam satu kenyataan media beliau yakin terdapat sekumpulan orang yang tidak bertanggungjawab dan berniat jahat sedang mengedarkan beberapa keping gambar peribadi Elizabeth yang juga exco Pelancongan, Alam Sekitar dan Hal Ehwal Pengguna.

"Beliau pun sudah memberi keterangan mengenai perkara itu kepada saya dan membuat laporan polis. Kita menyerahkan perkara ini kepada pihak berkuasa untuk melakukan penyiasatan secara bebas dan adil," katanya.

Elizabeth, sejak 11 bulan yang lalu, tambah beliau terbukti mampu menjalankan tugas sebagai wakil rakyat dan exco dengan tekun dan bijaksana.

Khalid menaruh keyakinan bahawa Elizabeth masih boleh meneruskan tugas dan tanggungjawab dengan cekap dan berkesan. - lanh _

Tiada ulasan: