HALAMAN SANTAI

Selasa, 12 Mei 2009

Anggota polis parah dirempuh mat rempit

UTUSAN ONLINE


KOTA BHARU - Seorang anggota polis parah setelah dirempuh motosikal yang ditunggangi mat rempit yang cuba mengelak daripada ditahan dalam operasi di Jalan Wakaf Mek Zainab dekat sini petang ini

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.15 petang itu, mangsa, Koperal Redzuan Ali, 48, patah tulang rusuk dan patah bahu. Dia dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) oleh anggota polis lain dengan bantuan orang ramai.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, dalam kejadian itu, mangsa bersama lima anggota polis sedang mengadakan operasi cegah jenayah dan menahan motosikal yang ditunggangi dua lelaki dalam keadaan mencurigakan.

Beliau berkata, ketika mangsa dan beberapa lagi anggota menghampiri untuk membuat pemeriksaan, tiba-tiba penunggang motosikal itu memecut dan melanggar mangsa yang berada di hadapan.

Katanya, mangsa kemudian terjatuh dan tidak sedarkan diri manakala dua pemuda yang berusia 22 dan 23 tahun itu turut terjatuh dan mengalami cedera ringan.

"Kedua-dua suspek yang dikawal polis turut dihantar ke HRPZ II untuk mendapatkan rawatan sebelum ditahan untuk siasatan lanjut," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang bertugas di Balai Polis Kok Lanas patah tulang rusuk dan bahu dan cedera di jari kelingking kiri. Keadaannya kini dilaporkan stabil.

Katanya, dua lelaki terbabit yang berasal dari Kampung Penambang dekat sini, ditahan mengikut Seksyen 333 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah terhadap penjawat awam yang menjalankan tugas.

Sementara itu, Redzuan ketika ditemui di HRPZ II berkata, dia tidak menyangka penunggang motosikal itu memecut secara tiba-tiba dan merempuhnya kerana ketika itu kenderaan terbabit sudah berhenti.

"Suspek bertindak merempuh selepas saya dan anggota polis meminta lesen memandu dan dokumen lain untuk pemeriksaan.

"Saya bernasib baik dan bersyukur kecederaan yang dialami tidak begitu serius," ujarnya yang ditemani isterinya, Faridah Mohamad, 44.

Beliau berkata, kejadian ini merupakan kali pertama menimpanya sejak bertugas di cawangan Trafik sejak 16 tahun lalu.

Tiada ulasan: