BERNAMA
KUALA LUMPUR: Polis malam tadi menahan sebelas orang termasuk dua wakil rakyat pembangkang kerana menyertai demonstrasi menyalakan lilin dipercayai sebagai bantahan terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) di Perak.
Mereka ditahan ketika menyertai nyalaan lilin di Seputeh pada pukul 8.20 malam tadi.
Difahamkan dua wakil rakyat itu ialah anggota Parlimen Serdang, Teo Nie Chin dan ADUN Teratai Jenice Lee.
Nyalaan lilin itu diadakan di luar pejabat anggota Parlimen DAP, Teresa Kok dan disertai berpuluh-puluh mereka yang memakai baju T hitam.
Menurut penganjur, nyalaan lilin itu sebagai menandakan apa yang mereka dakwa "pembunuhan demokrasi di Perak".
Sementara itu Ketua Polis Bahagian Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah ketika dihubungi mengesahkan penahanan sebelas orang termasuk wakil rakyat berkenaan.
Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut mengenai identiti sebenar dua wakil rakyat dan tarikh mereka akan dibebaskan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan