HALAMAN SANTAI

Rabu, 6 Mei 2009

Kurangkan protokol bantu rakyat

Oleh HAMDEN RAMLI dan ZULHISHAM ISHAK


KOTA KINABALU – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengajak pemimpin Barisan Nasional (BN) supaya mengurangkan protokol, sebaliknya lebih komited dalam menyelesaikan segala masalah rakyat.

Beliau berkata, pemimpin BN perlu bersikap mesra rakyat dan segera turun padang menyelami keluh kesah rakyat secara terus.

‘‘Tidak payah kita tunggu jemputan sebagai wakil rakyat. Tidak payah diundang, tidak payah ada bunga manggar, tidak payah dengan hamparan merah dan tidak payah tunggu televisyen.

‘‘Turun padang, tinjau masalah rakyat kerana dengan ini akan membuatkan BN terus dekat di hati rakyat. Ini gaya kepimpinan BN yang saya mahu lihat,” katanya sambil disambut sorakan lebih 10,000 hadirin yang membanjiri Padang Merdeka sempena Majlis Perhimpunan Rakyat bersama Perdana Menteri di sini hari ini

Perhimpunan rakyat sempena lawatan rasmi dua hari ke Sabah itu amat istimewa kerana ia mengundang nostalgia apabila di padang yang sama, 46 tahun lalu, ayahanda Najib, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein mewakili Kerajaan Tanah Melayu menyaksikan perisytiharan penyertaan Sabah ke dalam Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963.

Hadir sama pada majlis itu isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dan Menteri-menteri Kabinet Persekutuan dan Negeri.

Najib berkata, semua pemimpin BN perlu mengabdikan diri kepada rakyat kerana sebagai pemimpin, mereka menggalas amanah untuk membela nasib rakyat.

Katanya, selain turun padang, pemimpin BN perlu memastikan pencapaian diutamakan

Tiada ulasan: