MYMETRO
SHAH ALAM: Sebuah rumah teres di Ulu Yam Baru, dekat sini, kelihatan seperti rumah biasa dan tidak menimbulkan syak, namun serbuan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor 7 Mei lalu membongkar rahsia rumah terbabit dipercayai dijadikan stor untuk menyimpan dadah sejak enam bulan lalu.
Rumah disewa itu dijadikan stor oleh sindiket pengedaran dadah sebaik menerima bekalan daripada negara jiran sebelum ia dijual dalam kuantiti kecil kepada pengedar kecil-kecilan di sekitar Lembah Klang.
Ketua Jabatan Narkotik Selangor, Asisten Komisioner Nordin Kadir, berkata kejayaan itu diperoleh selepas pihaknya menahan seorang lelaki berusia 42 tahun, kira-kira jam 8.30 malam di Kampung Serai, Ulu Langat, dekat sini.
Menurutnya, pemeriksaan dalam kereta Proton Persona yang dinaiki suspek menemui lima ketulan mampat daun kering disyaki ganja seberat lima kilogram.
“Hasil soal siasat, sepasukan polis kemudian menyerbu rumah yang disewa lelaki terbabit di Ulu Yam sebelum menemui 26 ketulan mampat ganja yang disorok dalam satu kotak polisterim di tempat tidur.
“Kami syak dia adalah suspek utama dan dipercayai menjadi pembekal kepada pengedar ganja di Lembah Klang, bagaimanapun sejauh mana pembabitannya masih dalam siasatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, semalam.
Menurutnya, sebelum kejayaan itu, pihaknya menerima maklumat satu transaksi pengedaran dadah akan dilakukan di Bandar Damai Perdana Kajang, dekat sini, sebelum sepasukan polis membuat pemantauan di situ.
“Sejurus kemudian, sebuah motosikal ditunggang seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan menghampiri sebuah kereta Mitshubishi Space Wagon sebelum anggota memperkenalkan diri.
“Penunggang motosikal terbabit ditahan, bagaimanapun pemandu kereta itu cuba melarikan diri sebelum dipintas kenderaan polis,” katanya.
Pemeriksaan ke atas penunggang motosikal berusia 34 tahun dan bekerja sebagai penghantar surat itu menemui empat paket plastik lutsinar berisi 26 gram daun kering disyaki ganja manakala dalam kereta terbabit polis menemui satu beg kertas mengandungi dua ketulan mampat ganja seberat dua kilogram.
Pemeriksaan rekod jenayah ke atas penunggang motosikal yang berasal dari Cheras itu mendapati dia mempunyai satu rekod lama yang disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan, manakala pemandu kereta berusia 35 tahun dan bekerja sebagai juruteknik menyelenggara lif itu tidak mempunyai rekod lampau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan