HALAMAN SANTAI

Isnin, 4 Mei 2009

Ronnie cadang lantik pegawai di setiap PBT

SINAR HARIAN


SHAH ALAM – Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu mencadangkan pelantikan satu jawatan bertaraf pegawai yang bertanggungjawab ke atas semua aduan awam.

Katanya, pegawai yang dilantik itu perlulah berpengalaman luas, bekas pesara Ahli Majlis ataupun Datuk Bandar.

“Mereka juga hendak mempunyai kebolehan bertutur dalam pelbagai bahasa bagi memudahkan berurusan dengan pengadu selain mempunyai sifat berjiwa rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan ketika mempengerusikan Majlis Dialog Penduduk Shah Alam di Dewan Bola Tampar, di sini, semalam.

Hadir sama Datuk Bandar Shah Alam, Mazalan Md Noor, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik, Yaakob Sapari, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad serta Ahli Majlis.

Katanya, kuasa yang akan diberikan kepada pegawai ini setaraf dengan pengarah dan kontrak jawatan ini perlu diperbaharui setiap tahun.

Menurutnya, cadangan itu dibuat berikutan beberapa aduan diterima mengenai semua PBT di Selangor tidak mempunyai pengarah atau ketua biro aduan awam.

“Sekarang ini, yang menerima aduan adalah kerani yang tidak mempunyai kuasa untuk bertindak, oleh itu dengan adanya pegawai ini segala permasalahan penduduk dapat diselesaikan dengan lebih efisien,” katanya.

Tiada ulasan: