Oleh MOHD. SAIFUL MOHD. SAHAK
KUALA LUMPUR - Kira-kira 20 orang rakyat Malaysia dipercayai masih berada di sekitar Padang di Sumatera Barat yang dilanda gempa bumi kuat Rabu lalu.
Konsular Jeneral Malaysia di Medan, Fauzi Omar berkata, kebanyakan rakyat Malaysia itu terdiri daripada pelancong dan pelajar.
''Kita masih menunggu sekiranya terdapat maklumat mengenai rakyat Malaysia yang masih berada di Padang. Berikutan sistem komunikasi yang terputus dan jalan rosak teruk, ia mungkin menyebabkan mereka sukar untuk menghubungi Pejabat Konsular di sini.
''Bagaimanapun kita bersyukur kerana tiada rakyat Malaysia yang dilaporkan terkorban dalam kejadian itu walaupun Padang dilanda gempa bumi yang kuat," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Setakat hari ini, lebih 715 mangsa disahkan terkorban dan ramai lagi dikhuatiri turut terbunuh dalam kejadian gempa bumi yang berukuran 7.6 skala Richter itu.
Gempa yang berpusat di Kilometer 57, Padang Pariaman dengan kedalaman 87 kilometer di bawah laut itu dilaporkan berlaku pada pukul 5.16 petang waktu tempatan (pukul 6.16 petang waktu Malaysia), kira-kira 53 kilometer ke barat laut bandar Padang.
Gempa di Sumatera Barat itu berlaku hampir sebulan selepas Tasikmalaya, wilayah Jawa Barat digegarkan dengan gempa kuat yang mengorbankan 123 orang.
Sementara itu menurut Fauzi, sebanyak 383 rakyat Malaysia telah selamat dibawa pulang dengan segera ke tanah air melalui pesawat yang diaturkan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) semalam.
Katanya, berdasarkan maklumat yang diterima hari ini, empat pelajar Malaysia dipercayai masih berada di Sumatera Barat iaitu di daerah Bukit Tinggi iaitu kawasan yang tidak terjejas dalam kejadian gempa bumi itu.
Bagaimanapun, kesemua mereka kini berada dalam keadaan selamat.
"Konsular juga sedang menyediakan dokumen perjalanan seorang rakyat Malaysia yang hilang ekoran kejadian gempa bumi itu sebelum dibenarkan pulang melalui penerbangan komersial," ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan