UTUSAN ONLINE
KUALA LUMPUR - Ancaman kumpulan yang menggelar diri mereka sebagai Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) yang dikatakan mahu menyerang Malaysia tidak melibatkan permasalahan berkaitan ketenteraan antara Malaysia dan Indonesia.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, oleh itu rakyat tidak perlu risau kerana perkara tersebut hanya melibatkan sekumpulan kecil rakyat Indonesia.
Katanya, ini disebabkan mereka terpengaruh dengan tindakan provokasi yang dimainkan oleh media negara tersebut di atas nama tiket liberalisasi.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penganugerahan gelaran dan konvokesyen Pertubuhan Seni Silat Gerak Kilat Kebangsaan (PSSGKK) di sini malam ini.
Menurut Ahmad Zahid, perkara itu tidak menghalang negara daripada terus menghulurkan bantuan kepada mangsa gempa bumi di Padang.
Sebaliknya kata beliau, keprihatinan terhadap saudara serumpun ketika menghadapi musibah bencana alam perlu diberi perhatian dalam apa jua keadaan.
Ahmad Zahid memberitahu, rakyat negara ini tidak perlu memberikan reaksi negatif terhadap perkara tersebut.
Jelasnya, permasalahan yang timbul itu diharap tidak menjejaskan hubungan kerajaan, badan korporat, usahawan dan rakyat antara kedua-dua negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan