Oleh HAFIZAHRIL HAMID
KEJADIAN alam yang tidak mampu diduga oleh manusia sememangnya memberi kesan yang tidak dapat dibayangkan oleh kita semua. Lebih malang lagi peristiwa alam ini berlaku hampir serentak dalam beberapa bentuk seperti yang berlaku di beberapa negara di Asia Tenggara baru-baru ini.
Segalanya bermula pada 26 September lepas tidak sampai seminggu umat Islam di seluruh dunia menyambut ketibaan Hari Raya Aidilfitri apabila ribut tropika Ketsana melanda bahagian utara Filipina. Ribut tersebut telah menyebabkan hujan lebat dalam tempoh 12 jam di Manila yang kemudian mengakibatkan banjir terburuk dalam sejarah negara itu dalam tempoh empat dekad
Setakat ini angka korban akibat ribut itu telah meningkat kepada hampir 300 orang manakala lebih 375,000 lagi berlindung di 600 pusat perpindahan seperti sekolah dan gereja.
Selain itu kediaman hampir 2.2 juta penduduk negara itu terjejas teruk akibat banjir dan mangsa kini terpaksa ditempatkan di sekolah-sekolah, gereja dan pusat perpindahan lain.
Sementara itu, Presiden Gloria Macapagal Arroyo hari ini tampil mendermakan gajinya selama dua bulan untuk membantu mangsa Ketsana selain mengarahkan semua anggota Kabinetnya melakukan perkara yang sama.
Arroyo turut mengarahkan jabatan kewangan membayar bonus kepada pekerja kerajaan dengan segera dan bukan pada hari Krismas sebagaimana kebiasaan, bagi membantu mangsa ribut membina semula ke hidupan mereka.
Setelah membadai Filipina ribut tropika Ketsana turut memusnahkan kehidupan penduduk di Vietnam, Kemboja dan Laos pada Rabu lepas.
Di Vietnam, kira-kira 170,000 orang terpaksa dipindahkan di Hanoi, apabila taufan Ketsana disertai angin kuat melanda pantai tengah negara itu. Setakat ini, seramai hampir 100 orang terbunuh dan jumlah ini dijangka akan meningkat dalam tempoh beberapa hari.
Bahagian tengah Vietnam adalah kawasan paling teruk terjejas akibat taufan Ketsana dengan 168,585 mangsa di enam wilayah pesisiran pantai terpaksa dipindahkan.
Dalam pada itu, polis Kemboja dan pegawai kerajaan memaklumkan bahawa sekurang-kurangnya hampir 20 orang maut akibat bencana Ketsana di timur laut dan tengah negara itu yang turut memusnahkan lebih 100 buah rumah.
Setakat ini hampir tiga juta mangsa banjir akibat taufan Ketsana di seluruh Asia Tenggara menanti bekalan bantuan selain bersedia untuk menghadapi kemungkinan satu lagi ribut hebat pada bila-bila masa.
Jumlah keseluruhan angka kematian akibat bencana itu di seluruh Asia Tenggara kini mencecah hampir 400 orang.
Gempa
Sekurang-kurangnya hampir 2,000 orang terbunuh manakala beribu-ribu lagi terperangkap dalam sisa runtuhan akibat gempa bumi kuat berukuran 7.9 pada skala Richter menggegar bahagian barat pulau Sumatera pada Khamis lepas.
Pusat Kajian Geologi Amerika Sya rikat (USGS) melaporkan, gempa berlaku pada kedalaman 87 kilometer di bawah laut pada pukul 5.16 petang (6.16 petang waktu Malaysia), 53 kilometer ke barat laut bandar Padang. Gegaran turut dirasai di bangunan-bangunan tinggi di Jakarta, begitu juga Singapura dan Malaysia.
Gegaran turut merobohkan bangunan, memusnahkan rumah, meruntuhkan jambatan dan menyebabkan kebakaran di bandar Padang.
"Beratus-ratus rumah roboh, beberapa bangunan hotel musnah dan jam batan telah runtuh," kata ketua Geofizik Indonesia dan agensi meteorologi amaran tsunami, Rahmat Triyono.
Gempa yang melanda Sumatera Barat adalah lebih kuat daripada gempa di Tasikmalaya pada awal bulan lepas yang mengorbankan 123 orang. Dalam pada itu satu lagi kejadian gempa dengan kekuatan 7 skala richter turut berlaku selama 30 saat di Jambi dengan diikuti gempa susulan 5.5 skala richter.
Wilayah Pariaman yang merupakan kawasan punca gempa menyaksikan kira-kira 90 peratus rumah musnah sama sekali.
Selain itu dunia turut dikejutkan sekali lagi dengan kejadian tsunami yang mengakibatkan hampir 200 orang terbunuh yang melanda Kepulauan Samoa dan Tonga pada Rabu lepas. Kejadian itu berpunca dari satu gempa bumi kuat berlaku di Lautan Pasifik yang mencetuskan tsunami.
Ombak setinggi 4.5 hingga 6 meter telah menyebabkan banyak kampung di kepulauan tersebut musnah atau ditenggelami air dan ramai pekerja hilang di sebuah taman negara di American Samoa.
Gempa berukuran 8.0 hingga 8.3 pada skala Richter itu berlaku pada kira-kira pukul 6.48 pagi waktu tempatan (pukul 1.48 pagi ini waktu Malaysia) kira-kira 32 kilometer di bawah dasar laut, 190 kilometer dari American Samoa, sebuah tanah jajahan Amerika Syarikat (AS) yang mempunyai penduduk seramai 65,000 orang.
Kawasan pantai sekitar yang menjadi tumpuan pelancong musnah dan sekurang-kurangnya tiga kampung turut ranap.
Pengisytiharan darurat di American Samoa telah dilakukan dengan menggambarkan 'kerosakan besar dan meluas melibatkan bangunan-bangunan persendirian, awam dan komersial di kawasan pantai, selain kematian dan kecederaan'.
Ketua polis Samoa, Lilo Maiava berkata, tempoh dua tiga minggu diperlukan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan