HALAMAN SANTAI

Selasa, 6 Oktober 2009

Kaji sebab imej polis masih negatif

BERNAMA


Polis bercadang membuat kajian mengenai cara meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap pasukan itu dalam usaha mengubah persepsi masyarakat yang menganggap polis masih mempunyai banyak kelemahan terutama dari segi siasatan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata sungguhpun polis Malaysia melepasi piawaian 20 peratus kadar penyelesaian kes ditetapkan polis antarabangsa (Interpol), namun ia tidak sedikit pun mengubah pandangan negatif masyarakat terhadap pasukan itu.

Beliau berkata keadaan ini jelas menunjukkan masih berlaku krisis persepsi antara masyarakat dan institusi kepolisan di Malaysia, lebih-lebih lagi dengan peningkatan kes jenayah sejak kebelakangan ini.

"Kadar penyelesaian kes kita sekarang ialah 38 peratus, hampir mencecah 40 peratus.

"Malah, pencapaian ini jauh lebih baik dari standard Interpol, sekaligus membuktikan polis memenuhi piawaian sebagai agensi penguatkuasa undang-undang bertaraf dunia.

"Bagaimanapun, semua pencapaian itu masih belum mencukupi dalam meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap polis," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di Kuala Lumpur hari ini.

Justeru, katanya sebagai usaha untuk menambah keyakinan orang ramai, polis kini berbincang dengan institusi pengajian tinggi bagi menjalankan kajian tentang perkara dan sudut lain yang diperlukan bagi tujuan tersebut.

"Banyak kes-kes jenayah yang dipaparkan di media telah berjaya diselesaikan dalam masa yang singkat. Namun masyarakat kita masih lagi merasa takut dan bimbang.

"Ia menjadi cabaran buat polis bagi memastikan orang ramai merasa selamat untuk tinggal di sini," katanya.

Mohd Bakri berkata sikap masyarakat yang terlalu bergantung pada polis membuatkan mereka beranggapan polis boleh menyelesaikan semua masalah yang dihadapi.

"Masyarakat sepatutnya lebih memahami dan memberi kerjasama kerana yang menjadi mangsa jenayah adalah mereka dan sepatutnya bersama-sama berganding tangan membantu terutama memberikan maklumat serta melakukan langkah-langkah pencegahan," katanya.

Beliau berkata kesedaran masyarakat untuk membantu polis terutama menyalurkan maklumat masih lagi rendah menyebabkan terdapat kes-kes yang sukar diselesaikan.

Polis, tegasnya, akan berusaha memberikan perkhidmatan terbaik dalam menyediakan kemudahan kepada orang ramai untuk berurusan dengan pasukan itu.

Tiada ulasan: