HALAMAN SANTAI

Khamis, 1 Oktober 2009

Kaji syor baharui lesen memandu kurang 5 tahun

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Kementerian Pengangkutan akan mengkaji cadangan untuk mengehadkan tempoh pembaharuan lesen memandu bagi memudahkan pemantau terhadap pemandu yang melakukan kesalahan lalu lintas.

Menterinya, Datuk Seri Ong Tee Keat berkata, ia bertujuan memudahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesan pemandu-pemandu yang terlibat dalam kesalahan jalan raya apabila mereka hendak memperbaharui lesen.

Beliau berkata, tempoh lima tahun seperti yang dibenarkan sekarang terlalu lama menyebabkan sukar bagi pihak berkuasa untuk mengenal pasti pemandu-pemandu yang pernah terlibat dalam kemalangan jalan raya dan gagal membayar saman lalu lintas.

"Sekarang ini, pembaharuan lesen memandu boleh dibuat setiap lima tahun sekali.

"Ini bermakna pemandu yang pernah terlibat dalam kemalangan jalan raya, dipotong markah merit dan gagal membayar saman, tidak boleh dikesan melainkan jika mereka datang memperbaharui lesen," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan laporan Program Penilaian Jalan Raya Antarabangsa (iRAP) di sini semalam.

Turut hadir Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Yong Khoon Seng; aktres terkenal merangkap Duta Global Bagi Kempen Menjadikan Jalan Raya Selamat, Datuk Michelle Yeoh; Ketua Pengarah Yayasan Automobil Antarabangsa (FIA), David Ward; Ketua Pegawai Eksekutif IRAP Asia Pacific Rob Mclnerney dan Pengerusi Persatuan Automobil Malaysia, Datuk Tunku Mudzaffar Tunku Mustapha.

Tee Keat berkata, selain mengkaji tempoh pembaharuan lesen, aspek seperti pengguna jalan raya, reka bentuk jalan raya dan kenderaan juga perlu diberi perhatian jika mahu menangani kes kemalangan jalan raya yang tinggi di negara ini.

Dalam pada itu, beliau tidak setuju dengan pandangan beberapa pihak yang mengatakan bahawa Ops Sikap Ke-20 gagal apabila operasi yang berakhir kelmarin, menunjukkan jumlah kematian kedua tertinggi dalam sejarah sejak ia diperkenalkan lapan tahun lalu dengan mencatatkan sebanyak 261 kematian.

"Apa yang penting ialah prestasi operasi itu dari setahun ke setahun bertambah baik. Lagipun, sasaran mencapai kematian sifar hanya satu idea yang hakikatnya memang sukar dicapai," jelasnya.

Memandangkan 60 peratus daripada angka kematian dalam operasi itu melibatkan penunggang motosikal, Tee Keat berkata, beliau sudah berbincang dengan Menteri Kerja Raya mengenai cadangan membina lebih banyak laluan motosikal bagi menyelesaikan masalah tersebut.

Mengenai iRAP, menurut beliau, Malaysia berbangga kerana dipilih sebagai negara pelopor bagi program tersebut di rantau Asia.

Tiada ulasan: