HALAMAN SANTAI

Ahad, 4 Oktober 2009

Kapal pesiaran RM1.2 juta untuk susuri Sungai Terengganu

BERNAMA


KUALA TERENGGANU — Kerajaan negeri Terengganu membeli sebuah kapal pesiaran dua tingkat bernilai kira-kira RM1.2 juta bagi memudahkan pelancong menyusuri Sungai Terengganu dalam usaha meningkatkan sektor pelancongan di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Ahmad Razif Abdul Rahman berkata kapal yang mampu menampung sehingga 150 penumpang itu dapat merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi penduduk di sepanjang tebing sungai, terutama di kawasan Seberang Takir dan kawasan sekitarnya.

“Kerajaan negeri juga telah berbincang dengan Jabatan Perikanan dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengenai pokok nipah yang banyak terdapat di Seberang Takir untuk diusahakan penduduk setempat.

“Mungkin kita akan sediakan satu tempat ekonomi untuk produk nipah seperti air nira dan barangan kraftangan dari tumbuhan itu untuk dijual kepada para pelancong yang menyusuri Sungai Terengganu dengan kapal itu nanti,” katanya.

Razif berkata kapal yang dibeli di Bangkok, Thailand itu dijangka dapat dibawa pulang ke Terengganu selepas musim tengkujuh awal tahun depan.

Selain kapal itu, beliau berkata kerajaan negeri juga menempah tiga buah bot penambang baru yang berkonsepkan tradisional untuk pelancongan dan bot-bot berkenaan dijangka siap tidak lama lagi.

Beliau berkata dengan kemudahan asas yang ada nanti, Seberang Takir dipercayai akan lebih membangun dan penduduknya, rata-rata nelayan akan mendapat manfaat daripada projek pelancongan itu.

Tiada ulasan: