BERNAMA
KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan memberi butiran lanjut Laporan Pasukan Petugas Khas mengenai eksploitasi seksual terhadap wanita dan pelajar kaum Penan kepada kerajaan Sarawak.
Menterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, berkata butiran itu bagi merangka strategi holistik dan menggunakan pendekatan integrasi untuk pembangunan komuniti.
"Hasil keputusan laporan itu, kementerian menerima banyak cadangan daripada pelbagai pihak. Kami menghargai maklumbalas itu dan berharap lebih banyak akan diterima," katanya dalam kenyataan yang dikirim menerusi emel kepada Bernama hari ini.
Beliau berkata, maklumbalas itu membolehkan kementeriannya merangka pelbagai perspektif untuk rancangan pembangunan masyarakat Penan.
Jawatankuasa Bertindak kementerian itu yang menjalankan misi siasatan ke Baram tahun lalu mengesahkan berlaku gangguan dan eksploitasi seksual oleh pekerja balak terhadap wanita muda dan pelajar Penan.
Salah seorang mangsa berusia 22 tahun, yang juga ibu kepada dua anak dari Long Item, bagaimanapun, membuat laporan polis baru-baru ini di Long Lama, Baram, menafikan dakwaan itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan