Oleh S Anand Kumar
KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, berkata pembaziran tenaga elektrik terutama di bangunan kerajaan dan swasta semakin serius apabila pendingin hawa dingin dibuka selama 24 jam dan berterusan selama tujuh hari seminggu.
Sambil menyifatkan tindakan sedemikian sebagai amalan kurang sihat, beliau berkata walaupun sesetengah pejabat kerajaan tidak beroperasi pada Sabtu dan Ahad, pendingin hawa masih tetap berjalan.
“Kadang-kala saya dapat melihat di segelintir pejabat sama ada milik kerajaan atau swasta keadaannya amat sejuk seolah-olah dilanda ‘musim salji’ kerana sistem pendingin hawa dibuka pada tahap maksimum. Bagaimana kita mahu menjimatkan tenaga elektrik jika keadaan seperti ini terus berlaku.
“Saya akan bangkitkan perkara (pembaziran) ini kepada pihak bertanggungjawab dalam tempoh terdekat ini dalam usaha memberi penekanan kepada soal penjagaan alam sekitar,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Forum ‘Bumi Kita’ ‘Rumah Kita’ di Universiti Malaya, di sini, semalam.
Sementara itu, Koh berkata, lebih 4,300 Rukun Tetangga (RT) seluruh negara dengan keahlian kira-kira 120,000 disaran menjadikan pemuliharaan alam sekitar sebagai komitmen utama selain memberi tumpuan kepada usaha mencegah jenayah setempat.
“Bagi menjayakan perkara ini RT perlu bekerjasama dengan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) dan persatuan penduduk. Penjagaan alam sekitar adalah tanggungjawab bersama dan ia juga perlu dijadikan komitmen utama.
“Isu alam sekitar kini menjadi tumpuan dunia... kita dapat melihat kini berlaku pelbagai jenis pencemaran sehingga mengundang bencana. Pencemaran alam sekitar juga menjurus kepada pemanasan global dan perubahan cuaca,” katanya.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Rakan Alam Sekitar Hijau dan Biru, Dr Wong Ruen Yuan, berkata pihaknya sudah memulakan kempen untuk mendapatkan lebih 20,000 tandatangan dalam usaha memupuk kesedaran terhadap isu alam sekitar.
“Kempen ini bermula hari ini (semalam) dan dijangka akan berterusan selama sebulan. Ini adalah salah satu usaha untuk mengajak orang ramai supaya mencintai alam sekitar,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan