IYISAN ONLINE
IPOH - Kerajaan tidak bercadang mewujudkan sistem amaran awal di bangunan-bangunan tinggi kerana Malaysia tidak berada dalam lokasi berisiko tinggi kejadian gempa bumi.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Kong Cho Ha bagaimanapun berkata, buat masa ini Jabatan Meteorologi telah membina 15 stesen pemantau yang mampu mengesan gempa bumi sekali gus membolehkan langkah keselamatan awal diambil.
Menurutnya, walaupun Malaysia turut merasai gegaran ekoran kejadian gempa bumi di Wilayah Sumatera Barat, Indonesia semalam, namun negara ini masih dalam kategori selamat.
''Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah membuat penilaian dan berpendapat gegaran tersebut tidak serius kepada negara.
''Sistem amaran awal gempa bumi sudah dipasang di seluruh negara tetapi terpulang kepada jabatan tersebut untuk memasangnya di bangunan tinggi atau tidak,'' ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pameran Sains, Teknologi dan Angkasa Perak (Saintek) di Stadium Indera Mulia di sini, hari ini.
Cho Ha mengulas kejadian gempa bumi berukuran 7.6 skala Richter di Wilayah Sumatera Barat yang turut menggegarkan Malaysia.
Gempa bumi itu menyebabkan orang ramai di sekitar Lembah Klang, Melaka dan Johor Bahru mengosongkan bangunan tinggi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan