Jimadie Shah Othman
Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs) akan memanjangkan bantahan kira-kira 200 penduduk Behor Temak, Kangar berhubung isu pertukaran iman di sebuah masjid di kawasan tersebut kepada pihak Majlis Agama Islam Perlis (MAIPs).
Pengarah JAIPs, Malik Hussin berkata, pihaknya tidak dapat memutuskan permintaan anak kariah Masjid Al-A'la itu kerana ia di luar bidang kuasanya.
"Jabatan (JAIPs) akan panjangkan kepada pihak majlis (MAIPs). Kita di peringkat jabatan hanya sebagai urusetia sahaja, apa-apa hal pun kena rujuk dengan pihak majlis.
"Bidangkuasa kita tertakluk di bawah majlis," kata beliau yang juga setiausaha MAIPS.
Malik diminta mengulas bantahan anak kariah masjid tersebut yang menghantar memorandum bantahan kepada JAIPs berhubung perkara itu Sabtu lalu.
Kelmarin, Malaysiakini melaporkan, kesemua tiga iman di Masjid Al-Al'a meletakkan jawatan pada 31 Ogos lalu, ekoran keputusan JAIPs itu.
Walaupun pertukaran itu dibuat atas alasan penyelarasan semula imam di Perlis, beberapa sumber mengaitkannya dengan fahaman Sunnah Perlis - yang dikenali meluas sebagai Wahabi di kalangan masyarakat umum.
Ketika dihubungi Malaysiakini semalam, Malik berkata, JAIPs akan menjawab memorandum penduduk tersebut yang diusahakan tiga anak kariahnya, Adnan Saad, Nordin Mahmud dan Zali Yob.
"Saya sudah dapat surat itu. Saya akan jawab. Ia dibuat oleh anak kariah yang mungkin simpati sangat dengan iman berkenaan," kata Malik.
Semalam, Malik dilaporkan berkata, arahan pertukaran dua imam Masjid Al-A'la itu dibuat berdasarkan keperluan setempat, bukan kerana agenda mengembangkang fahaman Wahabi di negeri itu.
Tambahnya, pertukaran tempat bertugas dibuat berdasarkan keperluan sesuatu kawasan.
Memorandum tersebut, antaranya mendakwa wujudnya politik dalaman dalam pengurusan masjid di kawasan itu.
Dalam memorandum itu juga, anak kariah kawasan tersebut juga merayu JAIPS membatalkan perletakan jawasan ketiga-tiga iman terbabit kerana perkhidmatannya didakwa cemerlang selama ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan