Oleh SITI AIRUNNISA ALAUI
HULU TERENGGANU - Pengerusi Felda, Tan Sri Dr. Yusof Noor menasihatkan masyarakat Felda supaya tidak menyimpan wang tunai terlalu banyak di kediaman masing-masing bagi membendung kejadian samun.
Beliau tidak menolak kemungkinan kejadian samun kebelakangan ini berikutan pendapatan peneroka yang terus meningkat dari semasa ke semasa serta menjadikan kehidupan mereka lebih baik.
''Berita keuntungan yang diperolehi oleh peneroka Felda setiap tahun terutamanya pada musim perayaan mungkin menjadi punca penjenayah menjadikan kawasan Felda sebagai sasaran,'' katanya.
Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis tahlil dan sambutan Aidilfitri di Felda Mengkawang di sini hari ini.
Ia juga diadakan bagi menghargai jasa bekas Ketua Wanita UMNO Cawangan Felda Mengkawang, Asimah Abdul Rahman, 51, yang ditemui mati dibunuh di rumahnya bulan lalu dan dipercayai bermotifkan rompakan.
Pada majlis itu, Yusof turut menyerahkan insurans Felda bernilai RM10,000 kepada keluarga arwah Asimah.
Mengulas lanjut, Yusof yakin kerjasama antara penduduk dan pelbagai agensi pihak berkuasa mampu mengatasi masalah jenayah dan sosial yang berlaku di kawasan Felda.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan