BERITA HARIAN ONLINE
KUALA LUMPUR: Hampir 300,000 sukarelawan dari 15 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam dengan kerjasama Ikatan Relawan Rakyat (Rela) bersedia untuk membantu pihak berkuasa memantau keselamatan rumah ibadat di seluruh negara.
Setiausaha Kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, berkata ia adalah antara langkah awal yang diambil oleh gabungan NGO itu dalam usaha membantu polis mengelakkan berlakunya kejadian tidak diingini.
“Kami terpanggil untuk membantu polis. Paling tidak pun kami akan menjadi mata dan telinga kepada polis dan akan segera menyampaikan maklumat yang mungkin akan membantu pihak berkuasa.
“Sebagai orang Islam, kami cintakan keamanan dan sebab itu walaupun gereja sekalipun, kami tidak mahu ada yang merosakkannya. Tujuannya adalah satu bagi mengekalkan keharmonian masyarakat berbilang kaum di Malaysia,” katanya pada sidang media selepas memperkenalkan Pasukan Sukarelawan Islam di sini, semalam.
Hadir sama Pengarah Rela negeri, Khairi Mohd Alwee dan Pengarah NGO Pasukan Sukarelawan Islam, Datuk Zaaba Che Mat.
Selain Rela dan PPIM, antara NGO lain ialah Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris), Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Kongres India Muslim Malaysia (Kimma), Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM).
Sebelum ini, Gereja Metro Tabernacle, Desa Melawati terbakar apabila dipercayai seorang lelaki bermotosikal membaling topi keledar berisi bom petrol melalui tingkap gereja itu, tetapi tiga lagi iaitu Gereja Assumption di Petaling Jaya; Gereja Life Chapel di Damansara dan Gereja Good Shepherd Lutheran di Jalan Othman, Petaling Jaya tidak terjejas apabila bom petrol yang dilemparkan suspek tidak meletup.
Nadzim berkata, sebagai permulaan seramai 60 sukarelawan Islam yang dibantu oleh pasukan Rela akan digerakkan untuk membantu pihak berkuasa memantau keselamatan gereja di sekitar Lembah Klang.
“Saya juga berharap akan ada NGO bukan Islam yang menyertai pasukan ini. saya melihat isu yang berlaku bukan saja membabitkan umat Islam, tapi semua bangsa dan agama di negara ini,” katanya.
Sementara itu, Khairi berkata, Rela negeri itu sudah mendapat kebenaran dari Ketua Pengarah Rela, Datuk Zaidon Asmuni untuk membantu sukarelawan NGO memantau keselamatan rumah ibadat di sekitar Lembah Klang.
“Rela Selangor mempunyai kekuatan 70,000 anggota yang terdiri dari pelbagai kaum. Saya yakin kita mampu memberi kerjasama yang secukupnya jika diminta berbuat demikian,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan