HALAMAN SANTAI

Isnin, 11 Januari 2010

PVR mula tugas di 50 lokasi panas

BERITA HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR: Kumpulan pertama anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) yang diserap sebagai polis sukarelawan (PVR) bersedia memulakan tugas di 50 lokasi panas di sini, Selangor, Pulau Pinang dan Johor mulai hari ini.

Ketua Pengarah Rela, Datuk Zaidon Asmuni, berkata semua 1,042 anggota terbabit sudah menamatkan latihan dan kursus selama dua hari dalam tujuh minggu dan didapati mereka berkelayakan menjalankan tugas sebagai PVR.

“Mereka akan memulakan tugas hari ini di lokasi panas di empat negeri dalam membantu polis menangani jenayah jalanan.

“Kita harap jumlah anggota yang diserap sebagai PVR ini akan dapat ditingkatkan pada masa depan supaya dapat membantu polis membanteras jenayah dengan lebih berkesan,” katanya ketika dihubungi Berita Harian di sini, semalam.

Inisiatif untuk menyerap anggota Rela sebagai PVR itu dilakukan untuk meningkatkan kehadiran anggota polis di lokasi panas berkenaan supaya orang ramai berasa lebih selamat selaras dengan matlamat untuk menjayakan Bidang Keberhasilan Utama (NKRA) pencegahan jenayah.

Setakat 31 Disember lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah mengenal pasti kira-kira 5,187 anggota Rela untuk diserap sebagai PVR untuk membantu gerak kerja pencegahan jenayah bersama pihak polis.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dijadualkan melawat balai polis bergerak di Hentian Puduraya, di sini bagi memantau anggota PVR menjalankan tugasan pertama mereka.

Tiada ulasan: