HALAMAN SANTAI

Sabtu, 16 Januari 2010

Dewasa, remaja banyak guna gigi palsu

UTUSAN ONLINE


PUTRAJAYA - Ramai rakyat Malaysia terutama di kalangan dewasa yang kini terpaksa menggunakan gigi palsu berikutan kegagalan mereka menjaga kesihatan gigi sejak zaman kanak-kanak.

Mendedahkan fenomena yang membimbangkan itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, statistik terbaru pihaknya menunjukkan 90 peratus penduduk dewasa dan 60 peratus kanak-kanak berumur 12 tahun di negara ini menghadapi masalah gigi.

Menurutnya, turut mengalami masalah sama ialah 75 peratus remaja berumur 16 tahun dan 80 peratus kanak-kanak berumur enam tahun.

Sehubungan itu, kata beliau, pihaknya akan melancarkan kempen penjagaan gigi Mac ini dalam usaha meningkatkan kesedaran kanak-kanak mengenai kepentingan kesihatan gigi.

"Ramai kanak-kanak menghadapi masalah pergigian tidak lama selepas gigi susu mereka diganti dengan gigi kekal.

"Kalau kanak-kanak kecil yang hilang gigi tidak mengapa sebab gigi susu mereka akan diganti tetapi jika masalah berlaku pada zaman remaja, ini bermakna ramai rakyat kita terpaksa memakai gigi palsu semasa dewasa.

"Keadaan di Malaysia begitu membimbangkan," katanya selepas menerima kunjungan hormat Persatuan Kesihatan Mulut China dan Persatuan Pergigian Malaysia di sini hari ini.

Tiong Lai berkata, orang ramai juga perlu mengubah persepsi lama bahawa setiap gigi yang rosak dan sakit perlu dicabut.

"Tanggapan sedemikian silap dan cabut gigi sebenarnya tidak digalakkan, kita sebaliknya mahu membaiki dan menampal gigi yang rosak.

"Apabila gigi dicabut, ia akan menyebabkan kita kehilangan tulang, ia seterusnya menimbulkan kesan lain seperti masalah gusi dan perubahan bentuk muka," katanya.

Dalam pada itu, Tiong Lai berkata, jumlah doktor gigi di Malaysia tidak selari dengan populasi Malaysia.

"Malaysia pada masa ini hanya mempunyai 3,567 doktor gigi yang berdaftar.

Nisbah di Malaysia ialah seorang doktor gigi untuk 7,840 penduduk dan matlamat kita ialah meningkatkannya kepada seorang doktor untuk 4,000 penduduk pada 2018," katanya.

Menurutnya, Malaysia mempunyai 11 fakulti atau sekolah pergigian yang melahirkan 250 graduan setiap tahun, jauh daripada sasaran 800 graduan setahun.

Tiada ulasan: