HALAMAN SANTAI

Sabtu, 16 Januari 2010

Murid tahun enam maut dirempuh komuter

UTUSAN ONLINE


SHAH ALAM - Seorang murid tahun enam Sekolah Rendah Kampung Jawa 2 maut dirempuh komuter ketika menyeberangi landasan di Kampung Dagang Jati, Klang dekat sini petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, mangsa, K. Neroshini, 12, dalam perjalanan pulang ke rumahnya yang berdekatan landasan itu dari Taman Bukit Jati.

Ketua Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop berkata, mangsa mungkin melalui kawasan landasan sebagai jalan pintas untuk pulang ke rumahnya.

"Mangsa yang ketika itu seorang diri dipercayai tidak menyedari kedatangan komuter menyebabkan dia tidak sempat menyelamatkan diri.

"Berikutan rempuhan itu, mangsa mati di tempat kejadian akibat cedera parah di muka dan patah kaki," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Mohamad, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang untuk bedah siasat.

Katanya, kes berkenaan setakat ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Tambah beliau, siasatan pihaknya di lokasi kejadian mendapati terdapat jambatan disediakan berdekatan landasan itu bagi memudahkan orang ramai menyeberang.

"Bagaimanapun, kebanyakan penduduk tidak menggunakan kemudahan yang disediakan sebaliknya lebih gemar melintas landasan sebagai jalan pintas kerana lebih cepat," katanya.

Tiada ulasan: