HALAMAN SANTAI

Ahad, 17 Januari 2010

Jangan buat spekulasi kes jutawan Lubnan

BERITA HARIAN ONLINE


PUTRAJAYA: Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail meminta semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung penahanan lelaki Lubnan, Elie Yousseff Najem bersama wang palsu berjumlah AS66.2 juta di sebuah hotel di Kuala Lumpur, Ahad lalu.

Abdul Gani yang enggan mengulas lanjut, sebaliknya menegaskan, semua pihak sepatutnya memberi masa secukupnya kepada polis untuk menjalankan siasatan terperinci berhubung kes itu.

"Baru dua hari lalu polis mengumumkan dia (Elie) ditangkap tetapi kamu sudah bertanya kepada saya apa tindakan yang akan kita diambil.

"Ini tidak adil kerana kamu sepatutnya memberi masa mencukupi kepada polis untuk melengkapkan kertas siasatan kes berkenaan," katanya kepada media selepas menghadiri majlis Pembukaan Tahun Undang-undang 2010 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, semalam.

Beliau diminta mengulas perkembangan kes penahanan Elie, 50, yang pernah mengaku dirinya hartawan yang ditahan di hotel penginapannya di Bukit Bintang, Kuala Lumpur, Ahad lalu, bersama wang palsu bernilai AS66.2 juta.

Wang palsu yang ditemui termasuk 60 keping wang kertas bernilai AS$1 juta setiap satu, 60 keping bernilai AS$100,000 setiap satu dan 40 keping yang mempunyai nilai AS$500 setiap satu.

Sebelum itu, Elie menarik perhatian rakyat negara ini selepas mengumumkan mahu menyumbang RM1 bilion bagi membina pusat penyelidikan dan rawatan kanser untuk Majlis Kanser Negara (Makna), kira-kira empat tahun lalu.

Difahamkan Elie ditahan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Kua la Lumpur (IPK) selepas menerima aduan seorang tukang cuci hotel terbabit.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Izany Abdul Ghany, berkata penyelia tukang cuci hotel itu membuat aduan selepas pekerjanya diberikan tip iaitu wang kertas bernilai AS$500 oleh suspek

Tiada ulasan: