Oleh Khairul Azran Hussin
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, diingatkan supaya tidak bersifat angkuh dengan terus mempertikaikan keputusan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang melarang kalangan bukan Islam menggunakan kalimah Allah.
Sambil melahirkan rasa kecewa di atas sikap Khalid, Pengarah Jais, Datuk Muhammed Khusrin Munawi, berkata sebagai seorang Muslim, Ahli Parlimen Shah Alam itu sepatutnya menghormati larangan yang turut mendapat persetujuan Majlis Fatwa negeri itu.
"Saya meminta Khalid berhenti daripada mempertikaikan larangan penggunaan kalimah Allah kepada bukan Islam kerana tindakannya itu hanya akan merosakkan imej Islam itu sendiri.
"Keputusan itu dicapai hasil perbincangan ulama dan tokoh agama negeri. Jadi larangan itu bukan keputusan saya seorang tetapi hasil persetujuan bersama yang dicapai oleh mereka yang tahu selok belok agama," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Beliau mengulas laporan sebuah portal berita semalam yang menyiarkan kenyataan Khalid meminta Jais mengemukakan penjelasan bagi membolehkan masyarakat memahami mengenai larangan bukan Islam menggunakan kalimah allah.
Sebelum ini, Khalid yang juga Yang Dipertua Pas Shah Alam, melalui blognya, menyatakan sokongan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur
yang membenarkan akhbar mingguan Herald-The Catholic Weekly menggunakan perkataan Allah pada Khamis lalu.
Malah Khalid dalam blognya itu berkata, Allah bukan Tuhan kepada orang Islam semata-mata tetapi Tuhan kepada seluruh alam semesta, termasuk orang bukan Islam dan Rasulullah tidak pernah menghalang penggunaan perkataan Allah oleh orang bukan Islam.
Katanya, al-Quran sendiri mempunyai banyak ayat yang menunjukkan bahawa orang bukan Islam, sama ada golongan Musyrikin, Yahudi mahu pun Nasrani menggunakan perkataan Allah apabila mereka merujuk Tuhan semesta alam.
Muhammed sebelum ini juga dilaporkan mengancam untuk mengambil tindakan mengikut Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 ke atas golongan yang melanggar keputusan Mais atau mufti berhubung isu itu.
Katanya, Jais juga sudah melakukan siri pertemuan dengan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) bagi memberi penjelasan mengenainya, selain sesi penerangan mengenai kewajaran larangan itu menerusi khutbah Jumaat di semua masjid di negeri berkenaan.
Ditanya apakah kemungkinan Jais akan memanggil Khalid bagi membolehkan penerangan lebih jelas diberikan mengenai isu itu, beliau berkata, perkara itu tidak perlu dilakukan.
"Saya pasti dia faham apa yang dilakukan dan saya lihat beliau yang lebih-lebih memperjuangkan perkara itu sedangkan orang bukan Islam tiada apa-apa pun (reaksi)."
"Sebagai wakil rakyat, beliau tidak seharusnya bersikap begitu, tambahan pula Khalid mewakili sebuah parti yang berteraskan Islam, tetapi tidak pula menunjukkan sikap sebagai seorang pemimpin Islam," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan