Oleh FAIZAH IZZANI ZAKARIA
KUALA LUMPUR - Norhayati Zakaria biasanya menghabiskan masa kira-kira empat jam hanya untuk berulang-alik ke tempat kerja namun pada hari ini, rutin itu berubah.
Dia tidak perlu lagi berdepan dengan kesesakan jalan raya di ibu kota sebaliknya memulakan tugas sebagai pelukis pelan Jabatan Kerja Raya (JKR) tidak sampai 15 minit selepas bangun dari tidur.
Norhayati, 49, yang sudah 29 tahun berkhidmat di Cawangan Struktur, Kejuruteraan Awam dan Jambatan, JKR, adalah antara 39 kakitangan jabatan itu yang terpilih untuk bertugas di rumah setelah program perintis dilancarkan Disember lalu.
"Bagi kami sebagai pelukis pelan JKR, bekerja di rumah atau di pejabat sama sahaja. Malah lebih banyak faedah bekerja di rumah kerana banyak perkara dapat dijimatkan terutama kos untuk berulang-alik ke pejabat setiap hari," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di kediamannya di sini.
Kementerian Kerja Raya melancarkan Program Perintis Bekerja Dari Rumah selama tiga bulan yang melibatkan 39 kakitangan yang berkhidmat sebagai penolong juruukur bahan, pelukis pelan dan juruteknik.
Kesemua mereka yang bertugas di Cawangan Kejuruteraan Awam, Struktur dan Jambatan, Cawangan Arkitek dan Cawangan Ukur Bahan dipilih berdasarkan skop tugas secara langsung yang hanya melibatkan penggunaan komputer dan Internet.
Norhayati berkata, walaupun diberi peluang untuk bekerja di rumah tanpa pengawasan pihak atasan secara kerap, dia tetap mengamalkan budaya kerja sama seperti di pejabat terutama etika waktu bekerja mahupun berpakaian.
Katanya, penyelia di dalam kumpulan kerjanya mengetahui aktiviti tugas yang dilakukan walaupun berada di rumah dengan menggunakan sistem dalam talian (online) dan Internet.
"Sistem melukis pelan yang kami gunakan kini hanya menggunakan sistem online dan semua projek yang dibuat boleh dilihat oleh pihak atasan.
"Perhubungan dengan kumpulan kerja saya pula amat mudah, kami menggunakan sistem perbualan berkumpulan secara online yang seakan-akan Yahoo Messenger. Jadi sebarang masalah akan dapat diajukan dari situ," katanya.
Rakan sekerja Norhayati, Md. Said Mohamad, 53, yang juga sudah berkhidmat di jabatan sama selama 29 tahun berkata, bekerja dari rumah itu disifatkannya lebih selesa berbanding di pejabat.
"Sebelum ini, kita menghadapi masalah ruang kerja yang terhad. Malah sering kali terpaksa berpindah-pindah pejabat.
"Jadi apabila kementerian melaksanakan projek ini, saya rasa seronok kerana ia memanfaatkan banyak pihak terutama kepada kerajaan sendiri," katanya.
Bapa kepada enam orang anak itu berkata, bekerja dari rumah itu memberinya ruang untuk meluangkan masa yang lebih berkualiti bersama keluarga.
"Walaupun ketika bertugas, apa- apa yang berlaku di dalam keluarga juga boleh dipantau secara dekat. Bukan itu saja, projek ini dapat meringankan tekanan kerja di pejabat," katanya.
Ditanya mengenai hasil kerja, Md. Said berkata, JKR telah menetapkan bahawa setiap peserta projek itu perlu mencapai sasaran hasil kerja yang telah ditetapkan melalui Petunjuk Prestasi Utama (KPI).
Katanya, jabatan mempunyai sistem pemantauan prestasi kerja yang ketat termasuk menyediakan laporan bulanan produktiviti kerja serta laporan mengenai sasaran kerja bagi peserta projek itu.
Bagi memastikan hasil kerja menepati kehendak jabatan, peserta projek akan mengadakan pertemuan sekali seminggu bersama penyelia bagi membincangkan permasalahan dalam tugas dan juga mengenai projek yang sedang diusahakan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan