HALAMAN SANTAI

Selasa, 5 Januari 2010

Kartika dapat tawaran umrah

Oleh Shaarani Ismail


Agensi pelancongan sedia taja bekas model sambilan cari ketenangan jiwa



KUALA LUMPUR: Sebuah agensi pelancongan yang menjalankan pakej umrah dan ziarah bersedia menawarkan tajaan penuh kepada bekas model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarno, 32, yang menyatakan niatnya mahu mengerjakan umrah sebaik urusan perceraian dengan suaminya selesai, bulan ini.

Perkara itu dinyatakan sendiri oleh penasihat syariah syarikat terbabit, Sheikh Ismail Hashim yang kebetulan membaca luahan hati Kartika dalam laporan akhbar ini semalam berhubung niatnya itu.

Sheikh Ismail melalui syarikat Gemilang Travel and Tours, sebuah syarikat yang mengendalikan pakej haji dan umrah berpejabat di Ara Ampang Commercial Center di sini berhasrat menaja sepenuhnya pakej umrah untuk Kartika termasuk kelas bimbingan agama yang perlu dihadirinya sebelum berangkat ke Tanah Suci.

"Kami sebenarnya tersentuh dan terharu dengan luahan hati Kartika yang sudah pun menyesal dengan perbuatannya dan mahu mendekatkan diri kepada Allah dengan melakukan umrah.

"Tawaran kami kepada Kartika adalah ikhlas dan bolehlah dianggap sebagai satu daripada tanggungjawab korporat sosial kami yang diharapkan dapat membantu Kartika menghadapi tekanan emosi dan mencari kekuatan melalui umrah yang akan dijalaninya nanti," katanya kepada Berita Harian semalam.

Akhbar semalam memetik Kartika sebagai berkata, dia ingin mencari ketenangan sebenar di Tanah Suci selepas kehidupannya semakin rumit dengan penangguhan hukuman sebat sejak lima bulan lalu selain mahu mencari hidayah daripada Allah bagi menghadapi cabaran selepas berpisah dengan suaminya, Mohamad Afandi Amir, 38, warganegara Singapura.

Sementara itu, Kartika ketika dihubungi bagi memaklumkan perkara itu, berkata dia sangat gembira dan terkejut dengan tawaran syarikat berkenaan yang sanggup menaja hasratnya untuk menunaikan umrah bagi mencari ketenangan dan hidayah Allah selepas apa yang berlaku ke atas dirinya.

"Apa yang terjadi ini benar-benar membuatkan saya insaf dan saya cukup terharu apabila ada pihak yang simpati dan benar-benar mahu membimbing saya mendekatkan diri kepada Allah melalui penajaan umrah dan kelas bimbingan agama.

"Bagaimanapun saya masih menunggu panggilan daripada syarikat berkenaan untuk mendapatkan maklumat lanjut dan bagi menguruskan beberapa urusan dan keperluan lain," katanya.

Katanya, sebelum ini dia memang merancang untuk mencari agensi pelancongan yang ada menyediakan perkhidmatan umrah dan ziarah dan tidak menyangka hasratnya itu dipermudahkan.

Tiada ulasan: